KOTA BHARU: Sikap pengotor masyarakat yang tidak cakna mengenai penjagaan kebersihan adalah satu sebab wabak denggi meningkat di Kelantan, kata Exco Dr Ramli Mamat.
Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan Badan Bukan Kerajaan Negeri itu berkata Kelantan menduduki keempat tertinggi kes harian demam denggi selepas Selangor, Johor dan Kuala Lumpur sehingga 1 Oktober.
Kota Bharu merupakan daerah tertinggi demam denggi di Kelantan dengan 320 kes, diikuti Bachok (23), Tumpat (14), Pasir Puteh (3), Machang dan Pasir Mas (2) dan Tanah Merah (1), katanya dalam satu kenyataan di sini hari
ini.
Dr Ramli berkata Kelantan mencatatkan 8 kematian dari Januari hingga 24 September lepas daripada 182 kematian yang direkodkan di seluruh negara.
Katanya perbandingan bilangan kes antara 2015 dan 2016 menunjukkan peningkatan sebanyak 112.37%.
Bagaimanapun, katanya, tiada kes melibatkan virus zika dikesan di negeri itu setakat ini.