Di sebalik kemelut pembangkang, usaha ‘diplomatik’ pastikan 1 lawan 1

muhyiddin Salahuddin AyubKUALA LUMPUR: Kerja “diplomatik” sedang rancak berjalan bagi memastikan semua parti pembangkang bersetuju pertandingan satu-lawan-satu yang memerlukan kerjasama semua parti pembangkang melawan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Dua tokoh yang paling sibuk dalam usaha tersebut adalah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub.

Rabu lalu, Muhyiddin buat pertama kalinya bertemu dengan bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Kuala Lumpur, dan berbincang bagaimana menyatukan Pakatan Harapan, PPBM dan PAS.

Muhyiddin minggu lepas bertemu dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali.

Muhyiddin juga mengadakan pertemuan dengan Salahudin pada sambutan ulang tahun pertama parti itu di Muar, Johor, baru-baru ini.

Salahuddin merupakan antara tokoh yang sibuk bertemu beberapa pemimpin pelbagai latar belakang politik, khasnya dari Johor.

Anak kelahiran Pontian, Johor itu berjanji akan memberikan fokus kepada negeri selatan tanah air itu dalam usaha mengambil alih Johor daripada Barisan Nasional (BN).

Salahuddin turut bertemu bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam, seorang tokoh politik berasal dari Johor, di pejabat Yayasan Forum Ekonomi Dunia Islam di Kuala Lumpur.

“Kami melancarkan jentera pilihan raya Amanah Johor dan saya sendiri akan memberikan komitmen penuh untuk projek ini,” kata bekas ahli parlimen Kubang Kerian, Kelantan selama 2 penggal itu.

Ada peluang PAS turut sama

Selain tokoh dari Johor, Salahuddin juga bertemu dan berbincang serta membuat sidang media bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Ini adalah persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum ke 14,” kata pemerhati politik Hasbie Muda kepada FMT.

Hasbie, ketua Pemuda Amanah Terengganu yang menghasilkan buku politik “Kemenangan Yang Tertangguh”, yakin jika Mustafa masih berpengaruh dalam PAS, cadangan membentuk “gabungan besar” menentang BN akan menjadi kenyataan.

“Saya yakin, jika Cikgu Pa (Mustafa) masih berpengaruh, usaha ke arah satu-lawan-satu boleh jadi kenyataan,” kata Hasbie merujuk kepada pengarah pilihan raya PAS itu.

Namun, Hasbi yang juga bekas Exco Pemuda PAS Pusat, bimbang sekiranya pemimpin baharu PAS lebih menguasai hala tuju parti itu.

“Dalam AJK PAS Pusat yang baru selepas Muktamar 2015 dulu, saya kira tidak sampai 1/4 dari mereka yang bersama pemikiran dengan Cikgu Pa dan Tuan Ibrahim,” katanya.

Beliau bimbang kerana PAS adalah satu-satunya parti yang menjadi penghalang kepada agenda satu-lawan-satu supaya tiada pertembungan kerusi dengan pembangkang.

Muktamar PAS tahun lalu menyaksikan 18 pemimpin kanan PAS ditewaskan dan digantikan muka baru dari kalangan kumpulan pro-Hadi dalam badan eksekutif tertinggi parti itu.

Pemimpin yang tewas diketuai bekas timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu, kemudiannya membentuk Amanah.

Namun begitu, Hasbie masih memberikan harapan terhadap agenda satu-lawan-satu ini.

“Saya lihat ada satu harapan apabila melihat slogan mereka yang berbunyi ‘Bertekad Melebarkan Muafakat’,” kata Hasbie merujuk kepada slogan PAS yang kini dipromosikan.

“Saya yakin, mereka sedar keperluan untuk bekerjasama dengan pihak lain ini.”

Apa yang dibimbangi oleh beliau adalah PAS membuat onar atau keputusan sendiri menjelang pilihan raya umum nanti.

“Atas dasar itu, kami di Terengganu bersiap untuk semua kerusi pilihan raya di negeri ini takut apa-apa yang berlaku kita tidak bersedia,” kata Hasbie.