Kes rasuah di Sabah: SPRM rampas barang kemas RM3.64 juta

macc-sabahKOTA KINABALU: Barang kemas yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan di Sabah bernilai RM3.64 juta.

Menurut sumber rapat dengan pasukan pegawai penyiasat dalam kes penyalahgunaan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion di Sabah, SPRM mendapatkan khidmat seorang pakar penilai barang kemas dari Bank Rakyat.

“Berat barang kemas bagi suspek berjawatan pengarah ialah 14.5kg yang bernilai RM2.74 juta manakala nilai barang kemas seberat 4.8kg bagi suspek berjawatan timbalan pengarah dianggarkan RM900,000,” kata sumber itu ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut sumber, proses menilai barang kemas itu bermula kira-kira 10.30 pagi ini dan selesai 12.15 tengah hari.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan maklumat tersebut.

Sehingga kini, nilai rampasan melebihi RM114.5 juta diperoleh daripada suspek dan keluarga mereka, dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan itu.

Pada sidang akhbar pada Rabu, Azam mendedahkan rampasan wang tunai dan sejumlah barang kemas serta 9 kereta mewah.

Pengarah dan timbalan pengarah itu ditahan reman bersama 2 lagi individu awam sehingga 11 Oktober ini bagi membantu siasatan.

Pautan:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/10/05/rasuah-projek-pembangunan-di-sabah-sprm-rampas-rm114-5-juta-tunai/