PPBM sertai Bersih 5 perjuang matlamat sama, kata Muhyiddin

Bersih 5 muhyiddinPETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersetuju menyertai himpunan Bersih 5 yang akan diadakan pada 19 November ini bagi memperjuangkan matlamat sama, kata presidennya.

“Saya menerima jemputan daripada Maria Chin Abdullah (pengerusi Bersih 2.0) yang berharap saya akan hadir. Asalkan tujuannya sehaluan dengan apa yang kami perjuangkan, saya rasa tiada masalah.

“Antara matlamat perjuangan Bersih ialah menuntut Najib berundur, kerajaan yang bersih dan tiada rasuah. Ini saya fikir turut menjadi asas dan dasar perjuangan parti kita,” katanya yang dipetik Sinar Harian.

Maria yang merupakan pengerusi Bersih 2.0 berkata, himpunan Bersih 5 akan diadakan pada 19 November ini bagi menuntut reformasi institusi di negara ini dan mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berharap kehadiran PPBM dalam himpunan itu tidak disalah tafsir kerana Bersih bukan kumpulan provokasi.

“Asalkan ia tak membangkitkan isu yang boleh menimbulkan masalah keselamatan dan mengganggu ketenteraman awam. Bagi saya, yang penting ialah apa tujuannya, iaitu untuk sampaikan mesej rakyat,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman mengesahkan partinya mengalu-alukan pihak yang mempunyai matlamat sama untuk menyertai himpunan Bersih 5 yang menuntut negara dipimpin orang berintegriti.

“Kita akan bersama sesiapa yang bercadang bersihkan kepimpinan kerajaan. Kita mengalu-alukan usaha itu kerana ini antara perjuangan dalam Bersatu.

“Kita tidak mahu melihat lagi negara kita dipandang rendah orang luar dan masyarakat,” katanya.

Pautan:

Bersih 5 desak Najib berundur 19 November