Wira paralimpik tak leka imbuhan lebih RM1 juta, ikrar baiki prestasi

ziyad

KUALA LUMPUR: Atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli tidak mahu leka dengan imbuhan dan hadiah diterima, sebaliknya mahu terus fokus dengan latihan dan membaiki prestasinya dalam acara lontar peluru.

“Saya tidak mahu leka dengan semua imbuhan yang saya terima ini. Sebaliknya, ia jadi pembakar semangat kepada saya.

“Insentif yang saya terima ini akan saya gunakan untuk masa depan saya. Seperti yang pernah saya katakan, saya akan membawa ibu bapa saya menunaikan haji,” katanya selepas penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, malam tadi.

Ziyad yang memenangi pingat emas dan mencipta rekod dunia dalam acara lontar peluru F20 lelaki, menerima imbuhan berjumlah RM1.05 juta atas kejayaannya itu.

Beliau juga berharap kejayaannya dan rakan-rakan menjadi inspirasi kepada atlet lain untuk turut mencapai kemenangan.

Seorang lagi pemenang pingat emas Sukan Paralimpik, Abdul Latif Romly juga tidak mahu lupa diri dengan insentif yang diterima.

“Saya mahu kekal jadi diri saya seperti sebelum ini. Tidak mahu leka dan mahu terus kekal rendah diri,” katanya yang mengakui sejak pulang dari Rio de Janeiro, masyarakat sekitar mengenali dirinya.

Bagi kejayaannya meraih pingat emas dan mencipta rekod baharu dunia dalam acara lompat jauh T20, Latif turut menerima imbuhan RM1.05 juta.

Pemenang pingat emas pertama Sukan Paralimpik, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi pula menerima imbuhan berjumlah RM 1.02 juta.

Bagi atlet Olimpik Rio pula, pemain badminton nombor 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei menjadi penerima insentif Shakam tertinggi dalam kalangan atlet temasya itu dengan menerima RM500,000 termasuk tambahan RM200,000.

“Bagi saya, insentif ini adalah baik bagi atlet untuk menaikkan semangat beraksi.

“Untuk saya, sebagai atlet yang berkeluarga, insentif yang saya terima ini adalah untuk kegunaan masa depan anak-anak saya,” katanya.

Pautan:

3 emas, 1 gangsa pencapaian terbaik Malaysia di Sukan Paralimpik

Atlet Malaysia cipta sejarah menang 2 emas di Paralimpik Rio

Atlet lompat jauh pecah rekod dunia, raih emas ke-3 Malaysia di Paralimpik Rio