SPRM perlu buru ahli politik, gesa Transparency Malaysia

Akhbar Satar

KUALA LUMPUR: Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memburu ahli politik juga, susulan tangkapan berprofil tinggi beberapa penjawat awam mutakhir ini.

Badan pemantau ketelusan itu memetik statistik SPRM yang menunjukkan hanya 2 ahli politik ditahan daripada 670 orang pada 2015 dan 2 lagi setakat Oktober tahun ini.

“Kebanyakan kes ini barangkali bukan kes berprofil tinggi,” kata Presiden TI-M Datuk Akhbar Satar dalam satu kenyataan. “Mereka tidak disiarkan di media.”

Katanya tinjauan Barometer Rasuah Malaysia 2014 menunjukkan parti politik paling korup di Malaysia, diikuti polis dan penjawat awam.

“Orang ramai tidak percaya ahli politik ada integriti, telus mahupun bertanggungjawab.

“Ketika rakyat bergelut untuk meneruskan kehidupan, ramai ahli politik menikmati kekayaan. Gaya hidup mereka mewah.

“Mereka ada rumah mewah di Malaysia dan di luar negara,” tambah Akhbar.

Beliau berhujah ahli politik, termasuk penggubal dasar dan undang-undang, tidak sepatutnya melanggar undang-undang.

“Ahli politik perlu menunjukkan teladan kepada rakyat,” katanya.

Akhbar turut menyentuh ketiadaan kuasa pendakwaan untuk SPRM, menyebabkan mereka yang tidak maklum akan hakikat itu menyangka badan pencegahan rasuah bersikap memilih, terutamanya dalam kes melibatkan ahli politik.

“Ramai tidak sedar SPRM tidak ada kuasa untuk memulakan pendakwaan terhadap kesalahan amalan rasuah, mereka hanya ada kuasa untuk menyiasat.

“Jadi, tidak benar untuk dakwa SPRM bersikap memilih, terutamanya kes melibatkan ahli politik,” kata Akhbar, dan menambah hanya Peguam Negara yang boleh memutuskan soal pendakwaan seperti yang termaktub dalam Perkara 143(3) Perlembagaan Persekutuan.

Presiden TI-M itu juga percaya para hakim perlu memainkan peranan dengan menjatuhkan hukuman maksimum ke atas mereka yang disabit kesalahan rasuah, sebagai amaran kepada orang lain.

Beliau meyimpulkan ahli politik yang jujur, disegani dan tiada cacat cela akan membantu SPRM memerangi rasuah.