Tuduhan pecah amanah RM15j pengerusi, pengarah Bank Rakyat tidak lengkap, kata peguam

Abdul-Aziz-Zainal_Mustafha_bank-rakyat1KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Bank Rakyat Datuk Mustafha Abd Razak dan pengerusi bank itu, Tan Sri Abdul Aziz Zainal akan mengemukakan bantahan awal berkaitan pertuduhan pecah amanah membabitkan peruntukan kumpulan perbelanjaan pemasaran bank itu hampir RM15 juta.

Peguam Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Mustafha memberitahu Hakim Mahkamah Sesyen Madihah Harullah bahawa bantahan awal itu akan dikemukakan atas alasan pertuduhan terhadap tertuduh adalah tidak lengkap.

“Mengikut Seksyen 154 Kanun Tatacara Jenayah, pertuduhan itu mesti ada cara bagaimana tertuduh melakukan pecah amanah, namun cara itu tidak dinyatakan, dan bahagian itu perlu diberitahu,” katanya.

Bagaimanapun, Kamarul Hisham berkata pihaknya akan menunggu dokumen berkaitan kes itu diserahkan kepada pihak pembelaan sebelum mengemukakan bantahan awal.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amir Nasruddin memaklumkan kepada mahkamah bahawa masih ada lagi dokumen yang perlu diteliti dan memohon tarikh sebutan baharu dalam tempoh sebulan.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Abdul Aziz tidak membantah permohonan pihak pendakwaan dan berkata pihaknya akan mengkaji dokumen tersebut setelah ia diserahkan kepadanya.

Mahkamah menetapkan 15 Nov untuk pengurusan kes.

Pada 7 Sept lalu, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Madihah.

Mustafha, 48, didakwa melakukan pecah amanah membabitkan peruntukan kumpulan perbelanjaan pemasaran bank itu berjumlah RM14,991,283.20 yang diamanahkan terhadapnya di Menara Kembar Bank Rakyat, No. 33 Jalan Travers di sini pada 11 Mac lepas.

Abdul Aziz, 65, pula didakwa bersubahat dengan Mustafha melakukan kesalahan yang sama di tempat dan pada tarikh sama.

Mustafha didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan manakala Abdul Aziz didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama yang dibaca bersama Seksyen 409.

Jika disabitkan kesalahan, kedua-dua tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.