Setahun selepas kontroversi, industri vape masih berasap

Datuk Azwan Mahas,

PETALING JAYA: Setahun selepas penggunaan rokok elektronik atau vape hangat diperkatakan sehingga mengundang fatwa mengharamkannya, pengusaha industri itu masih bertahan, menurut tinjauan FMT.

Ia merupakan antara isu besar pada tahun lalu sehingga menarik perhatian pelbagai pihak, antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, masyarakat umum dan pengguna vape itu sendiri.

Akhir tahun lalu, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan hukum penggunaan vape adalah haram, disusuli dengan beberapa negeri seperti Johor, Melaka dan Negeri Sembilan mengharamkannya.

Fatwa itu selepas pelbagai pihak melahirkan kebimbangan kesan vape ke atas golongan muda.

Rokok elektronik yang pada asalnya bertujuan membantu perokok tegar mengkikis tabiat tidak sihat itu, sebaliknya menarik lebih ramai golongan muda memulakan gaya hidup perokok.

Malah di satu ketika, Kementerian Kesihatan Malaysia dilihat bertikam lidah dengan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri, kerana mempertahankan pengusaha dan pengguna vape yang rata-rata majoriti Melayu daripada diambil tindakan penguatkuasa kesihatan.

Yang besar masih bertahan

Menurut pengusaha vape Datuk Azwan Mahas, 40, perniagaan vape di Malaysia masih lagi bertahan dan hanya kiosk kecil sahaja terjejas susulan rampas dibuat pihak KKM.

“Mereka tidak mampu bayar sewa, barang dirampas KKM tidak dikembalikan sehingga memaksa mereka tutup,” katanya kepada FMT.

Namun, pengusaha besar masih lagi aktif berniaga malah turut membuka cawangan baharu.

“Kita masih lagi berkembang dan mendapat sambutan dari dalam dan luar negara.”

Azwan bagaimanapun mengakui industri itu sedikit terjejas disebabkan kempen yang dijalankan pihak KKM, dan bukan kerana Majlis Fatwa.

Beliau turut mendakwa kempen KKM berasaskan pembohongan “sebab tiada kajian langsung dibuat pihak KKM” mengenai kesan vape terhadap kesihatan.

Azwan berkata kajian luar negara mendapati vape jauh lebih selamat daripada rokok.

“Kita juga tidak nampak ketelusan kempen, apa yang saya tahu seorang doktor dari Melaka ditugaskan manjatuhkan dan memburukkan industri vape,” katanya, tanpa menamakan siapa yang dimaksudkannya.

“Kebanyakan bahan kempen mereka bersumberkan internet bukannya daripada kajian secara saintifik sehinggakan pihak Majlis Fatwa terpengaruh mengharamkan vape setelah KKM mengatakan ia tidak sihat.”

Kembali menghisap rokok

Azwan mendakwa kesan daripada kempen KKM, sebanyak 30% hingga 40% pengguna vape kembali menghisap rokok, ditambah dengan “pandangan serong” daripada masyarakat sekeliling.

“Dulu kita hisap vape di kedai makan tiada masalah. Sekarang kita hisap orang tengok pelik,” katanya.

“Kita kesal pendatang baharu yang ingin mencuba kaedah vape untuk berhenti merokok ini berkurangan.

“Mereka terpengaruh dengan kempen yang menakutkan di hospital kononnya vape itu bahaya sehingga boleh mendatangkan kanser tanpa membuat kajian.

Azwan berkata bagi menangani kempen KKM, pengusaha vape bersama NGO mengadakan kempen “menolak pembohongan” mengatakan vape berbahaya sehingga mendatangkan kanser, di samping mengadakan promosi penjualan vape.

Sebahagian daripada usaha itu ialah dengan menyalurkan maklumat menunjukkan kajian pakar bedah jantung yang mendapati vape selamat.

Bumiputera dan vape

Bagi Azwan, kerajaan menganaktirikan peniaga vape yang rata-rata Bumiputera, dengan tidak memberikan sokongan kepada mereka.

“Di luar negara industri vape berkembang dengan pesat, mereka dapat sokongan daripada kerajaan mereka, malah di pameran vape di Perancis anak tempatan kita juara apabila mendapat anugerah pembekal perisa vape terbaik dunia,” katanya dengan nada kesal.

Katanya, pengusaha vape Bumiputera “mengharumkan” nama negara di mata dunia dengan pelbagai perisa vape yang dicipta.

Tindakan penguatkuasaan ke atas industri vape Malaysia memaksa pengusaha mencari alternatif lain dengan melebarkan perniagaan ke luar negara.

Kata Azwan, sehingga kini produk vape buatan Malaysia dipasarkan ke United Kingdom, Perancis, Brunei, Bahrain dan Kuwait, iaitu antara 10 negara dengan permintaan tinggi.

Azwan mendesak kerajaan Malaysia menyelesaikan isu vape sekaligus membuka peluang kepada anak tempatan menceburi bidang perniagaan, dan bukannya menghalang mereka.

Katanya, KKM perlu bersikap lebih terbuka memberikan informasi kepada rakyat “kerana ketelusan itu penting”.

“Saya juga minta pihak kerajaan supaya campur tangan dan membuat penelitian secara mendalam agar industri vape diberi pengiktirafan sekaligus dapat membantu rakyat negara ini untuk berniaga,” katanya.

 

Pautan:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2015/08/18/haram-hisap-vape-majlis-fatwa/