50 warga Pakistan Syiah ditahan sambut Hari Asyura di Selangor

zuhairi

KUALA LUMPUR: Seramai 50 warga Pakistan dipercayai bermazhab Syiah ditahan di Batu Caves, ketika menyertai acara sempena sambutan Hari Asyura (10 Muharam), semalam.

Pemimpin Syiah Malaysia, Mohd Kamilzuhairi Abd Aziz berkata, mereka kemudiannya dibawa ke Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Kuang, kira-kira jam 11 malam.

“Seramai 35 daripada mereka dihadapkan ke Mahkamah Syariah Kuang pagi ini. Baki 15 lagi adalah golongan perempuan dan kanak-kanak.

“Mereka sedang berkabung kerana kesyahidan Saidina Hussein. Pelik kerana mereka bukan warga Malaysia, tetapi dinafikan hak mengamalkan mazhab sendiri. Malah, peralatan dan barang yang digunakan untuk acara juga dirampas,” katanya kepada FMT.

FMT sedang cuba menghubungi Jais mendapatkan butir lanjut.

Penahanan itu bertentangan kenyataan Jais pada 2010 yang membenarkan warga asing mengamalkan mazhab mereka, selagi tidak menyebarkannya kepada penduduk tempatan.

Dua hari lalu, Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) menahan 2 lelaki tempatan berusia 32 dan 54 tahun, kerana disyaki membuat persiapan menyambut Hari Asyura mengikut mazhab Syiah.

10 Muharam antara tarikh penting buat umat Islam, terutamanya mereka yang bermazhab Syiah bagi memperingati hari kematian cucu Nabi Muhammad, Husain Ali lebih 1,000 tahun lalu dalam pertempuran di Karbala, Iraq.