Fomca sokong wujudkan lesen jual rokok

Mohd Yusof Abdul RahmanPETALING JAYA: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyokong saranan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kerajaan memperkenalkan lesen kepada penjual dan pengeluar tembakau bagi membasmi penjualan rokok seludup.

Timbalan Presiden Fomca Mohd Yusof Abdul Rahman berkata penjualan produk tembakau termasuk shisha wajar dilesenkan bagi memastikan penjualan barangan tersebut terkawal.

“Syarat pelesenan perlu melihat dari aspek lokasi perniagaan, golongan sasaran yang mana ia tidak boleh menjual produk tembakau kepada orang Islam dan mereka di bawah umur 18 tahun.

“Dengan langkah tersebut, penjualan produk tembakau kepada orang ramai dapat dikawal, terutama di kalangan anak muda,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengenakan syarat yang ketat dalam permohonan lesen agar selari dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dalam usaha membendung penjualan produk tembakau.

“Sesiapa sahaja boleh menjual produk tembakau kerana masih tidak ada syarat lesen dikenakan sehingga menyebabkan penjualan produk yang dinyatakan haram dijual secara berleluasa.

“Kita lihat rokok jenama Sampoerna banyak diseludup ke negara ini dan menyebabkan permintaan semakin menjadi-jadi. Kita wajar contohi Singapura dan Thailand yang meletakkan syarat lesen kepada setiap penjual produk tembakau,” katanya.

CAP berharap langkah ini boleh memantau penjual rokok sah, memandangkan terdapat 80,000 penjual rokok di Malaysia ketika ini, tidak termasuk penjual tepi jalan.

PAUTAN

CAP gesa perkenal lesen kawal penjual rokok