Harussani ‘pemimpin Islam emosi dan jahil’, kata Zaid

zaid-ibrahim-harussani

PETALING JAYA: Datuk Zaid Ibrahim menyifatkan mufti Perak “pemimpin Islam beremosi dan jahil” kerana mahu Rang Undang-undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) dilaksanakan di semua negeri.

“Beliau belum pun baca rang undang-undang itu, jadi bagaimana beliau tahu apa isi kandungannya? Rang undang-undang belum disediakan pun.

“Belum ada rang undang-undang lagi, hanya usul. Menteri perlu menjelaskan usul itu.

“Jika usul itu hendak memperkenalkan undang-undang Islam, maka Parlimen perlu menolak kerana undang-undang Islam bukan dalam bidang kuasa Parlimen. Ia adalah perkara berkaitan sesebuah negeri,” kata bekas menteri Umno itu kepada FMT hari ini.

Tan Sri Harussani Zakaria hari ini memberitahu FMT, beliau bukan sahaja berharap RUU 355 diluluskan di Kelantan, tetapi untuk seluruh negara.

Semalam, Harussani menggesa ahli Parlimen beragama Islam tanpa mengira perbezaan politik menyokong RUU 355, kerana adalah “salah” jika umat Islam tidak menyokongnya.

Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, umat Islam tidak wajib menyokong RUU 355.

“Harussani mempunyai hak untuk menyuarakan pendapatnya, tetapi ia tidak wajib kepada semua.

“Sudah tentu saya tidak setuju. Ternyata bukan semua mufti bersetuju dengannya,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen Bukit Bendera itu sependapat dengan Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dan berkata, RUU 355 bukan “hukum Tuhan” dan mungkin mempunyai kelemahan yang perlu diperbaiki.

Pada 29 September lalu, Wan Salim dilaporkan berkata, RUU yang dibentangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mei lalu, tidak boleh disama taraf sebagai undang-undang Allah, kerana ia usaha manusia, jadi wujud kelemahan yang perlu diperbaiki.

Beliau sedih dengan sikap segelintir agamawan yang mudah mengkafirkan pihak membantah RUU 355, meskipun ia belum dibentangkan.

Pindaan RUU 355 bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah dengan mengenakan hukuman lebih berat kepada penjenayah.

Usul yang dibentangkan Hadi pada Mei lalu, akan dibahaskan pada sesi Dewan Rakyat bermula Isnin depan.

Pautan:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/10/13/mufti-perak-mahu-hudud-dilaksanakan-di-semua-negeri/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/30/usul-hadi-kehendak-allah-ulama-pas-jawab-mufti/