Kedai Buku Popular tarik balik judul komik lucah

PETALING JAYA: Kedai Buku Popular memutuskan menarik balik sebuah judul komik yang mengandungi kandungan lucah, selepas menerima aduan ibu bapa.

Buku komik di bawah siri “Bro Don’t Like That La Bro”, yang mengisahkan 5 lelaki di Malaysia, tidak lagi akan dijual di semua cawangan Kedai Buku Popular di Singapura dan Malaysia.

Selain penulisan dengan tema lucah, buku itu juga memaparkan lukisan seksual malah merujuk aksi rogol dan alat sulit lelaki.

Dalam satu kenyataan semalam, Kedai Buku Popular berkata ia sudah mengambil “tindakan serta merta memastikan buku itu dikeluarkan daripada rak kami”.

Dua hari lalu, orang awam dan ibu bapa meluahkan kemarahan di Facebook dan mempersoalkan penjualan buku komik itu yang mudah dibeli kanak-kanak.

Sementara itu, akhbar The Straits Times Singapura memetik seorang jurucakap rangkaian kedai buku itu sebagai berkata, judul tersebut merupakan bahan bacaan dewasa dan dilabel sedemikian.

“Kami memahami kegusaran awam terhadap penjualan buku itu di kedai kami,” katanya.