Aktivis Swiss desak DiCaprio pulangkan wang rakyat Malaysia

Leonardo-DiCaprio_swiss1

Oleh Raevathi Supramaniam

LONDON: Kumpulan aktivis berpangkalan di Switzerland, Bruno Manser Fond mendesak pelakon Leonardo DiCaprio memulangkan semula AS$25 juta yang diperoleh menerusi filem “Wolf of Wall Street” kepada rakyat Malaysia.

Kumpulan itu turut mendesak DiCaprio menarik diri sebagai duta keamanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk perubahan iklim.

“DiCaprio kurang layak untuk peranan seperti itu,” kata pengarah eksekutif kumpulan itu, Lukas Straumann yang mendakwa DiCaprio dan yayasannya menerima manfaat daripada pembabitannya dengan Jho Low dan Riza Aziz, menerusi sumbangan lebih AS$2 juta yang diterima yayasan itu.

“Dia berhutang dengan rakyat Malaysia akauntabiliti terhadap ikatan kewangannya bersama Jho Low dan Riza Aziz,” katanya.

Bruno Manser Fond dinamakan sempena aktivis Switzerland yang hilang di hutang Sarawak ketika tinggal bersama puak Penan dan aktif memperjuangkan isu membabitkan hutan hujan Sarawak dan hak masyarakat Orang Asli.

Sidang akhbar di London itu turut dihadiri wakil C4, Sudhagaran Stanley dan Pengarah Sarawak Report, Clare Rewcastle.

DiCaprio berada di London untuk tayangan perdana dokumentari perubahan iklim bertajuk “Before the Flood”.

Beliau dijemput ke sidang akhbar itu tetapi penganjur nampaknya tidak menganggap beliau akan datang, secara simboliknya meletakkan gambarnya di kerusi kosong.

decaprio-story

Bercakap kepada wartawan, Rewcastle Brown berkata DiCaprio seorang hipokrit, dan semua yang terbabit dalam menyeleweng dana daripada 1MDB, seperti didakwa dalam saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), patut dibawa ke muka pengadilan.

“Dia boleh berparti dan naik kapal mewah dengan rakan-rakan yang licik, dan kemudiannya menggelar dirinya pejuang ekologi, menggunakan wang yang diperoleh itu kepada projek alam sekitar dan membuka laluan ke Oscar,” katanya.

Sudhagaran merayu kepada masyarakat antarabangsa terus memberi tekanan untuk mendakwa mereka yang terbabit dalam kontroversi 1MDB.

“Kami mahu semua pemain utama didakwa, dan wang yang diselewengkan daripada 1MDB dipulangkan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Pada 20 Julai, DoJ dalam tuntutan samannya menuntut untuk menyita aset bernilai kira-kira AS$1 bilion dengan lebih AS$3.5 bilion lagi yang diambil daripada 1MDB.

Aset itu termasuk beberapa rumah agam Beverly Hills, hotel, penthouse di New York, jet peribadi, beberapa lukisan dan aset lain.

DoJ juga memohon untuk menyita pendapatan “Wolf of Wall Street” pada masa akan datang, filem terbitan Red Granite Pictures milik Riza Aziz, anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Filem itu dilaporkan memperoleh AS$390 juta di box office dan terus menerima royalti daripada syarikat televisyen dan sumber lain.

Bulan lalu, BMF mendesak DiCaprio dan Yayasan Leonardo DiCaprio mendedahkan hubungan kewangan mereka dengan 1MDB.

Kumpulan itu menulis kepada bank Switzerland Julius Baer, bank utama yang berkait dengan yayasan itu, bertanya mengenai penerimaan sumbangan daripada “orang yang terdedah dengan politik” di Malaysia.

Pautan

FBI siasat kelab DiCaprio dikaitkan dana 1MDB