Khairy bentang usul iktiraf, tahniah kepada kontinjen Olimpik, Paralimpik

khairy-olimpik-malaysia

KUALA LUMPUR: Khairy Jamaluddin hari ini membentangkan usul di Dewan Rakyat bagi mengiktiraf dan mengucapkan tahniah kepada atlet serta keseluruhan kontinjen negara yang mencatat kejayaan pada Olimpik dan Paralimpik Rio 2016.

Menteri belia dan sukan berkata, usul itu sebagai meraikan detik kebersatuan yang dicipta kontinjen negara melalui kejayaan bersejarah dilakar, khususnya atlet yang membawa pulang pingat bagi Malaysia.

Katanya, ia juga bagi mempersetujui keputusan kerajaan memberi insentif kepada atlet biasa dan atlet kurang upaya yang memenangi pingat serta menyeru pihak swasta, media dan masyarakat mengekalkan sokongan kepada atlet negara.

“Kita juga menyokong segala usaha untuk mengekalkan momentum kejayaan sukan Malaysia ke arah Sukan SEA dan Sukan Para Asean di Kuala Lumpur 2017,” katanya ketika membentangkan usul itu pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beberapa atlet turut hadir pada persidangan Dewan Rakyat itu, termasuk pemenang pingat emas lontar peluru Paralimpik Muhammad Ziyad Zolkefli; pelari pecut paralimpik Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi; atlet terjun Pandelela Rinong dan atlet lumba basikal Azizulhasni Awang.

Kontinjen negara meraih 4 pingat perak dan 1 gangsa pada Olimpik Rio, pencapaian terbaik sepanjang penyertaan Malaysia dalam temasya itu sejak kali pertama pada 1956.

Pasukan badminton negara menyumbang 3 pingat perak menerusi Datuk Lee Chong Wei, beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Pingat perak turut disumbangkan pasangan penerjun Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong menerusi acara 10m platform seirama wanita, manakala pelumba Azizulhasni Awang meraih pingat gangsa bagi acara keirin.

Kontinjen paralimpik negara turut meraih pencapaian terbaik di Rio dengan memperoleh 3 pingat emas dan 1 gangsa, sekaligus menamatkan cabaran di temasya berprestij itu pada kedudukan ke-36.

Selain Muhammad Ziyad, 2 lagi pemenang pingat emas ialah Ridzuan dalam acara 100m T36 dan Abdul Latif Romly menerusi acara lompat jauh T20, manakala Siti Noor Radiah Ismail memenangi pingat gangsa dalam acara lompat jauh T20.

Pautan:

Wira paralimpik tak leka imbuhan lebih RM1 juta, ikrar baiki prestasi

Kemenangan bermaruah, V Shem-Wee Kiong hadiahkan perak untuk Malaysia

Chong Wei akhiri kempen Olimpik dengan pingat perak