7 daripada 10 pekerja asing di Malaysia, tak sah

Datuk-Richard-Riot.

KUALA LUMPUR: Bagi setiap 10 pekerja asing di Malaysia, ada 7 orang yang tidak mempunyai dokumen sah di negara ini, kata Datuk Richard Riot.

Menteri sumber manusia berkata pekerja asing tanpa izin dibawa masuk oleh beberapa agensi kerana wujudnya permintaan daripada majikan.

“Itu salah satu cara pekerja tanpa izin masuk ke negara ini,” katanya menjawab soalan tambahan daripada Nasrudin Hassan Tantawi (Temerloh-PAS) di Dewan Rakyat, hari ini.

Richard berkata kebanyakan pekerja asing berkenaan bekerja di restoran dan pasar raya besar.

Katanya, pada masa ini terdapat 1.9 juta pekerja warga asing yang mempunyai dokumen sah di dalam negara.

Terdahulu, Nasruddin bertanya mengenai langkah diambil kerajaan untuk menghentikan kemasukan pekerja asing tanpa izin ke negara ini.

Richard berkata kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada warga tempatan untuk bekerja dalam pelbagai bidang pekerjaan.

Katanya, kerajaan juga melaksanakan pelbagai program latihan untuk meningkatkan bilangan pekerja Malaysia berkemahiran tinggi dan sasarannya ialah mencapai 35% pekerja mahir menjelang 2035.

“Kerajaan tidak mahu pekerja asing mengambil alih kerja yang boleh diisi orang tempatan,” katanya.

Pengambilan pekerja asing hanya terbuka untuk 5 sektor yang kurang menarik perhatian pekerja tempatan, iaitu pembinaan, pertanian, perhutanan, pengeluaran dan perkhidmatan.

Menurut Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), kira-kira 7 juta pekerja asing bekerja di negara ini pada Jun 2015, tetapi hanya 2.2 juta daripadanya mempunyai dokumen sah.