Insiden campak ular, KPM gesa siasatan terperinci APM

kamalanatahan

SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kecewa dengan insiden mencampak ular ke dalam kolam bagi ujian bina diri murid oleh jurulatih Angkatan Pertahanan Awam (APM) di Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.

Timbalan menterinya Datuk P Kamalanathan berkata ia merupakan kes pertama seumpamanya malah tidak sepatutnya berlaku kerana guru pengiring sudah memaklumkan kepada jurulatih berkenaan supaya tidak memasukkan haiwan tersebut.

“Walaupun jurulatih APM mengatakan ular itu tidak berbisa namun itu bukan isunya kerana tindakan tersebut boleh menimbulkan trauma kepada murid berkenaan.

“Sebelum ini memang ada latihan dalam air tetapi tidaklah sampai menggunakan haiwan bagi modul tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Kantin Bersih, Selamat dan Sihat yang dirasmikan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam, di sini hari ini.

Kamalanathan diminta mengulas mengenai rakaman video insiden itu yang tersebar luas sehingga menerima kritikan netizen apabila beberapa murid menangis dan menjerit-jerit setelah dicampak ular semasa mereka menjalani ujian tersebut.

Beliau berkata sekolah yang terlibat juga diminta menghubungi ibu bapa murid berkenaan bagi memberi penjelasan lanjut mengenai isu itu selain kaunselor sekolah turut diarah mengadakan sesi kaunseling dengan murid terlibat bagi mengelakkan perasaan trauma berpanjangan.

“KPM harap kes berkenaan dapat disiasat secara lebih mendalam oleh APM kerana kita tak mahu insiden sama berulang pada masa depan,” katanya.

Rakaman video itu turut memperlihatkan beberapa anggota APM menyiram air dan menyergah murid untuk menguji keberanian mereka.

Sebanyak 45 murid dari sebuah sekolah rendah di Kuala Kangsar menyertai modul latihan berkenaan di perkarangan pejabat APM Kuala Kangsar.

Berikutan insiden itu, APM Perak hari ini memaklumkan 4 jurulatih termasuk pembantu jurulatih yang terlibat dalam modul berkenaan sedang disiasat berhubung tindakan mereka.

Pautan:

4 jurulatih APM disiasat guna ular takutkan murid