Kanak-kanak OKU didera, ibu antara 3 ditahan

abuse

JOHOR BAHRU: Polis menahan 3 individu, termasuk ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak lelaki kelainan upaya (OKU) yang ditemui mati di bilik air rumah mereka di Endau, Mersing, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, turut ditahan ialah abang kepada bapa tiri kanak-kanak itu.

Beliau berkata, ketiga-tiga mereka ditahan pada 4 petang tadi di sekitar Endau, selepas laporan bedah siasat kanak-kanak 11 tahun itu mendapati ada unsur penderaan.

“Hasil bedah siasat mendapati ada kesan penderaan pada anggota badan mangsa. Justeru, mereka disyaki terlibat dalam membuat penyeksaan terhadap mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes itu kini diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian petang semalam itu, Mohamad Roshamnudin Abdullah dikatakan ditemui dalam keadaan terbaring dengan kakinya dihempap tong air di bilik air rumahnya oleh ibunya.

Kanak-kanak itu yang dibawa ke Klinik Kesihatan Endau disahkan meninggal dunia.

Kamarul Zaman berkata, pemeriksaan doktor mendapati mangsa mempunyai kesan melepuh seperti terkena benda panas dipercayai api rokok.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat.

Beliau berkata, pihaknya akan memohon perintah reman bagi ketiga-tiga suspek, esok.