3 tahun mohon bina sekolah Tamil tapi tiada jawapan, kata Dr Ramasamy

ramasamy-tamil-school-penang

PETALING JAYA: Permohonan untuk membina sekolah menengah Tamil di Pulau Pinang dibuat sejak 3 tahun lalu namun jawapannya mengecewakan, kata Prof Dr. Ramasamy Palanisamy

Timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu memberitahu, setakat ini hanya 28 buah sekolah rendah kebangsaan Tamil wujud di negeri itu.

Isu ini dibangkitkan semalam oleh Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto mengenai ketidakprihatinan kerajaan terhadap sektor pendidikan masyarakat Tamil yang mahukan layanan sama rata.

“Kerajaan negeri menghantar surat ke Kementerian Pendidikan berhubung memohon pembinaan sekolah menengah Tamil di negeri ini.

“Kalau kita lihat, ada sekolah menengah Cina, sekolah menengah Inggeris swasta tetapi kenapa katakan tidak pada sekolah menengah Tamil?” katanya.

Dalam masa sama, beliau yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan dan Sumber Manusia Sains, Teknologi & Inovasi mendakwa ini merupakan mainan politik kerajaan persekutuan.

“Pihak kerajaan enggan memberikan kredit kepada kerajaan negeri dalam menampakkan usaha kami memberi layanan sama rata terhadap masyarakat India yang menetap di Pulau Pinang.

“Kuasa pendidikan ada pada kerajaan pusat. Jadi, segalanya terpulang kepada mereka. Kementerian dan terutama Timbalan Menteri P Kamalanathan seharusnya ambil kisah akan hal ini lebih-lebih lagi kerajaan negeri sudah menyediakan tapak binaan,” katanya.

Namun begitu Presiden Majlis Belia India Malaysia, Sivabalan Muniandy menyelar dakwaan mengenai kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang dilihat tidak melakukan sebarang inisiatif dalam membantu masyarakat India.

“Dalam hal ini, saya bersetuju dengan cadangan membina sekolah menengah Tamil di sana namun tidak adil menuduh kerajaan persekutuan tidak memberikan layanan sama rata.

“Kerajaan persekutuan ada menyumbangkan RM 3.9 juta kepada sekolah Tamil di seluruh negara pada tahun lalu dan tahun ini juga. Ia membuktikan kerajaan tetap prihatin terhadap sektor pendidikan di kalangan masyarakat India,” katanya.