IMAM: Khatan dan FGM tidak serupa, umat Islam bebas memilih

imam_1

PETALING JAYA: Sebuah pertubuhan doktor beragama Islam menjelaskan amalan khatan yang dilakukan sebahagian besar umat Islam negara ini ke atas kanak-kanak perempuan tidak boleh disamakan dengan amalan “pemotongan genitalia wanita” (FGM) yang menjadi kontroversi di beberapa negara.

Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) berkata FGM yang diharamkan di Mesir itu memberikan kemudaratan kepada wanita, sebaliknya khatan perempuan yang menurut sesetengah ulama disarankan dalam Islam adalah berbeza.

“Jelas FGM memberi mudarat besar kepada kesihatan wanita dan melibatkan maruah, jati diri dan seksualiti sebagai wanita,” kata ahli jawatankuasa IMAM, Dr Ariza Mohamed, kepada FMT.

“Khatan di Malaysia adalah perbuatan lebih kepada syarat sahaja, cuma melalukan pisau di bahagian kelentit, memotong sekelumit kulit klitoris, menggunakan jarum untuk “prick’ sedikit di bahagian kelentit,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, 2 pakar perubatan berkata amalan khatan ke atas perempuan bukan merupakan tuntutan syarak, walaupun ia diwajibkan menurut pendirian mufti tempatan.

Ia bertentangan dengan pendirian ulama terkenal seperti Dr Yusuf Qaradawi yang mahu amalan itu dihentikan.

Negara Islam seperti Mesir dan Indonesia juga mengambil langkah membanteras amalan yang berleluasa itu di kalangan sesetengah komuniti termasuk Kristian.

Dr Ariza berkata IMAM juga akan bangkit menentang sekiranya perbuatan itu memberi kemudaratan kepada wanita.

“IMAM juga bersetuju dengan pengharaman FGM kerana tiada ulama Islam yang menyokong FGM.

“Jelas FGM memberi mudarat besar kepada kesihatan wanita dan melibatkan maruah, jati diri dan seksualiti sebagai wanita.”

Bebas memilih

Bagaimanapun, Dr Ariza berkata khatan tidak memberi kesan terhadap bentuk kemaluan wanita.

“Saya sendiri menyambut kelahiran wanita selama 25 tahun, jelas sekali wanita Islam Malaysia tiada masalah seksualiti dan tidak menimbulkan trauma pada diri mereka,” katanya, dan menambah beliau tidak pernah menerima aduan komplikasi disebabkan khatan.

IMAM juga menyokong pandangan mufti yang mempertahankan khatan sebagai amalan dituntut.

“Sekiranya kita mengharamkan secara drastik, ia tidak akan dapat diterima masyarakat dan bimbang mereka akan beralih kepada sumber lain yang tidak terlatih melakukannya. Khatan ini melibatkan adat dan agama, adalah tidak benar mengatakan khatan tiada dalam Islam kerana para ulama telah mengkaji dan mengulas tentang isu ini,” katanya.

Dr Ariza berkata ibu bapa bebas membuat keputusan berdasarkan fahaman yang diyakini.

“Doktor atau gadis yang mahu memilih fatwa yang mengatakan ianya sunat atau wajib boleh melakukannya demikian atas hujah yang diyakininya,” katanya.

Pautan:

Khatan perempuan tiada dalam Islam, kata pakar

Tidak perlu haramkan amalan khatan perempuan, kata mufti