Kerajaan hapus subsidi, minyak masak naik harga bulan depan, kata persatuan

meoma-minyak-masak

PETALING JAYA: Harga beberapa kategori minyak masak akan dinaikkan mulai bulan depan, susulan pemansuhan subsidi oleh kerajaan, kata Persatuan Pekilang-pekilang Minyak Makan Malaya (Meoma).

Persatuan itu dalam satu kenyataan yang dipetik Oriental Daily berkata, di bawah program penstabilan minyak masak baharu yang akan mula dilaksanakan November ini, harga 1kg minyak masak paket plastik dinaikkan 40 sen kepada RM2.90, manakala minyak masak botol 5kg naik RM1.90 kepada RM15.25.

Program baharu itu dibahagikan kepada 2 peringkat, di mana peringkat pertama mulai 1 November ini sehingga 31 Disember nanti, manakala peringkat kedua mulai 1 Januari 2017 dan hanya minyak masak paket plastik akan menikmati subsidi kerajaan pada tahun depan.

Untuk peringkat pertama, subsidi minyak masak campuran botol seberat 500g, 1kg, 2kg, 3kg dan 5kg serta minyak masak sawit tulen botol seberat 500g, 1kg, 2kg dan 3kg, akan dimansuhkan.

Ini bermakna, tanpa harga siling ditetapkan kerajaan, harga minyak masak perlu mengikut apungan pasaran dan ditentukan peniaga.

Minyak masak sawit tulen botol seberat 5kg masih diberikan subsidi sehingga hujung tahun ini, sebelum ia dihapuskan mulai 1 Januari 2017.

Sebelum ini, pengeluar minyak masak diberikan kebebasan untuk menggunakan subsidi yang diberikan kerajaan, tetapi mulai bulan depan, mereka perlu memperuntukkan 70% subsidi itu untuk menghasilkan minyak masak paket plastik 1kg, baki 30% lagi untuk minyak masak botol 5kg.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipetik Bernama memberi amaran kepada pemborong dan pembekal minyak masak tidak menyorok bekalan bahan itu bagi mengaut keuntungan atau lesen perniagaan mereka akan ditarik balik.

Beliau turut meminta peruncit membuat laporan, jika kuota penghantaran barang itu kurang daripada sepatutnya, bagi membolehkan pihaknya melakukan siasatan terhadap pemborong dan pembekal yang mungkin menyorokkan bekalan minyak masak.

“Apa pun yang kita lakukan adalah untuk kepentingan rakyat bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan ketika ini harga minyak masak masih lagi berpatutan, iaitu RM2.50 bagi setiap kilogram.

“Subsidi (minyak masak) itu masih lagi harga yang sama dan adalah tak adil kepada rakyat sekiranya ada pihak yang menyorok bekalan,” katanya selepas melakukan tinjauan pelaksanaan skim kawalan sempena perayaan Deepavali di Tapah, hari ini.

Katanya, buat masa ini, tiada aduan rasmi diterima berhubung perkara itu dan pihaknya akan menghantar penguat kuasa melakukan siasatan sebaik sahaja menerima laporan.

Hamzah berkata, pemborong dan pembekal yang mencatu dan menyorok bekalan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukaman denda RM100,000 bagi individu serta RM250,000 bagi syarikat, jika sabit kesalahan.

Ketika ini, terdapat 260 pemborong dan pembekal minyak masak di seluruh negara.