Lelaki disyaki penyokong IS tikam 3 polis Indonesia

JAKARTA: Seorang disyaki penyokong Islamic States (IS) menyerang polis di Indonesia dengan pisau pada Khamis dan mencederakan 3 daripada mereka, menyaksikan keganasan terkini yang diilhamkan daripada kumpulan militan.

Pihak berkuasa Indonesia semakin bimbang dengan kebangkitan radikalisme di Asia Tenggara, yang memperoleh ilham daripada IS.

Polis menembak dan mencederakan penyerang selepas dia menikam 3 pegawai polis trafik semasa waktu puncak di Tangerang, di pinggir ibu negara, Jakarta.

Bom paip yang tidak meletup dan pelekat besar IS ditemui berhampiran tempat kejadian, kata polis.

“Secara tiba-tiba pegawai kami diserang kejam dengan senjata tajam. Pelaku ditembak di paha dan kaki,” kata jurucakap polis, Boy Rafli Amar kepada pemberita.

“Kami mengesyaki pelakunya bersimpati dengan Isis,” katanya, merujuk kepada IS.

Pegawai-pegawai polis dan penyerang, yang dilahirkan pada 1994 serta menganggur, sedang dirawat di hospital.

Serangan itu dibuat selepas satu siri serangan berkaitan IS bermula pada Januari apabila 4 militan melancarkan serangan senjata dan bom di Jakarta.

Sebanyak 8 terbunuh termasuk ahli kumpulan militan itu sendiri.

Pada Julai, seorang militan meletupkan dirinya di sebuah balai polis di bandar Solo, mencederakan seorang pegawai.

Polis pada Ogos menahan penyokong IS yang merancang melancarkan roket di kawasan kasino resort Marina Bay milik Singapura menggunakan bot dari pulau Indonesia berhampiran Batam.

Seorang remaja yang “taksub” dengan IS cuba menyerang seorang paderi dengan pisau di sebuah gereja pada Ogos.