Vaksin Rotavirus mungkin tersenarai program imunisasi negara

KUALA LUMPUR: Vaksin Rotavirus akan dimasukkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) jika kadar kematian kanak-kanak di negara ini yang berumur 5 tahun ke bawah disebabkan virus itu lebih daripada 10%.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui Strategic Advisory Group of Experts (SAGE) menyarankan vaksin Rotavirus dimasukkan ke dalam NIP sekiranya 10% atau lebih kematian kanak-kanak disebabkan cirit-birit.

“Di negara ini kadar kematian dalam kalangan kanak-kanak pada 2014 ialah 0.5% manakala tahun lalu 2.9%. Kadar ini di bawah tahap peratusan seperti disarankan WHO,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sebagai pencegahan, vaksin Rotavirus boleh diperoleh di klinik dan hospital swasta yang menyediakan perkhidmatan suntikan vaksin itu.

Sementara itu, Pakar Perunding Kanak-Kanak, Hospital Pantai, Ampang Dr R Thanasegar berkata biasanya virus itu mengambil masa 2 hari sebelum timbul gejala seperti demam yang tinggi, cirit-birit, kejang atau sakit perut berterusan.

Dr Thanasegar berkata terdapat 5 spesies Rotavirus tetapi Rotavirus A ialah penyebab utama berlakunya Rotavirus dalam kalangan kanak-kanak dan jangkitan kali pertama akan dapat memberi imuniti apabila dijangkiti virus itu pada kali kedua.

“Hampir setiap kanak-kanak menjangkau usia 5 tahun ke bawah mungkin pernah mengalami jangkitan virus itu yang boleh dikenal pasti melalui pemeriksaan sampel najis,” katanya.

Bagi mencegah virus itu daripada merebak, Dr Thanasegar menasihatkan mengutamakan kebersihan di persekitaran khususnya peralatan mainan kanak-kanak, cara pengambilan dan penyediaan makanan serta minuman. Bagi mereka yang mengendalikan lampin bayi perlu mencuci tangan selepas menukarnya.

“Tiada rawatan khusus untuk membunuh virus tersebut tetapi apa yang penting memastikan pesakit mempunyai kandungan air yang mencukupi dalam badan untuk mengelakkan dehidrasi (kehilangan air dan garam galian yang teruk menerusi muntah dan cirit).

“Di negara ini, jangkitan Rotavirus punca cirit-birit yang utama menyebabkan kanak-kanak memerlukan rawatan hospital dalam bentuk menerima rawatan transfusi (memasukkan) air melalui saluran darah (intravena),” katanya.