Agihan peruntukan sukan kena adil, kata bekas atlet

Santokh SinghPETALING JAYA: Santokh Singh berharap dana besar yang diperuntukkan kerajaan bagi pembangunan sukan menerusi Bajet 2017 akan dibahagikan sama rata kepada semua jenis sukan.

Bekas pemain bola sepak kebangsaan itu berkata kerajaan tidak boleh bersikap “pilih kasih” dengan melebihkan peruntukan kepada sukan tertentu.

“Aspek pengurusan dana dan pelaksanaan (pembangunan sukan) juga perlu diutamakan. Jangan hanya umum saja dan sebahagian besar diselewengkan,” katanya kepada FMT.

Santokh berkata kerajaan juga patut memperuntukkan sejumlah dana untuk kebajikan bekas atlet yang banyak berjasa kepada negara.

Dalam pembentangan Bajet 2017 hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan dana RM1.2 bilion untuk pembangunan sukan negara, berbanding RM242 juta bagi tahun lalu.

Selain itu, kerajaan mengumumkan program khusus seperti Program Pembangunan Sukan Elit (RM70 juta) bagi menyediakan atlet negara ke temasya antarabangsa serta pembinaan dan RM122 juta lagi untuk menaiktarafkan infrastruktur seluruh negara.

Sementara itu, tokoh pengkritik sukan Tan Sri Prof Khoo Kay Kim tidak setuju dengan tindakan kerajaan memperuntukkan dana besar bagi pembangunan sukan, bukannya untuk penyelidikan serta penerbitan di universiti.

“Begitu banyak (dana) untuk sukan, tetapi peruntukan untuk penyelidikan dan penerbitan di universiti pula dipotong. Saya langsung tidak setuju.

“Jika tiada penyelidikan dan penerbitan di universiti, bagaimana mahu memandaikan masyarakat?” katanya sambil berkata negara tidak menunjukkan pencapaian dalam bidang sukan melainkan Temasya Olimpik dan Paralimpik di Rio tahun ini.

Dalam bajet kali ini, kerajaan memperuntukkan RM7.4 bilion bagi 20 universiti awam, dengan RM100 juta khusus untuk penyelidikan dan penerbitan.