Bajet pertama selepas kehilangan hasil minyak

oil revenuePETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan membentangkan Bajet 2017 hari ini di sebalik kebimbangan terhadap kos sara hidup yang terus menguasai perbincangan awam.

Bajet tahun lalu terpaksa dikaji semula berikutan kejatuhan mendadak hasil minyak selepas kejatuhan harga bahan mentah itu.

Seperti tahun sebelumnya, Najib sekali lagi membuka media sosialnya bagi mendapatkan cadangan orang awam untuk bajet akan datang.

Maklum balas yang diterima mencerminkan kebimbangan orang ramai terhadap ketidaktentuan ekonomi dan pendapatan yang statik.

Kebimbangan lain termasuk hal perumahan, kesihatan, pendidikan dan pertumbuhan ekonomi.

Isu kekurangan rumah mampu milik dan penyelenggaraan buruk rumah pangsa kos rendah menarik perhatian ahli-ahli politik daripada kedua-dua belah jurang politik.

Cadangan baru-baru ini oleh seorang menteri untuk membenarkan pemaju memberi pinjaman perumahan berkait rapat dengan kesukaran mendapatkan pinjaman perumahan kerana pihak bank yang mengetatkan syarat.

Pemerhati turut memantau untuk melihat sama ada pembiayaan pendidikan akan dikurangkan lagi.

Terdapat juga kemungkinan kerajaan mengurangkan biasiswa, yang menjadi kebimbangan ibu bapa dengan anak belajar di luar negara yang sudah dibebani kenaikan kos disebabkan kelemahan ringgit.

Tahun ini menyaksikan ribuan rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan mereka, bukan sahaja akibat penurunan harga minyak global tetapi juga kerana syarikat besar membawa perniagaan mereka ke negara lain.

Justeru, bajet bagaimana yang rakyat Malaysia boleh harapkan?

Najib berkata fokus utama bajet akan meningkatkan pendapatan boleh guna, menggalakkan pembangunan kemahiran dan keusahawanan, menangani kos sara hidup yang meningkat, menyediakan perumahan mampu dimiliki serta peruntukan bagi perkhidmatan pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Spekulasi juga hangat yang kerajaan akan mengumumkan pengecualian duti eksais bagi pembeli kereta kali pertama dan memberi maklumat lanjut mengenai langkah yang dicadangkan untuk membenarkan pemaju mengeluarkan pinjaman rumah.

Ahli Parlimen PKR Sim Tze Tzin memberi amaran kedua-duanya adalah langkah jangka pendek yang boleh meringankan beban rakyat untuk seketika tetapi “mengumpan” mereka membuat komitmen lebih mahal bagi jangka masa panjang.

Terdapat juga kebimbangan cukai baharu akan diperkenalkan, 2 tahun selepas pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) berkuat kuasa. Kerajaan mendakwa GST menyelamatkan ekonomi di tengah-tengah kejatuhan harga minyak.

Cukai baru ke atas perniagaan dalam talian mungkin dalam perancangan, sesuatu yang Indonesia juga pertimbangkan.

Cukai tersebut boleh memberi kesan kepada perkhidmatan kereta “e-hailing” seperti Uber dan Grab, serta pengusaha perniagaan dalam talian yang sebahagian besarnya adalah usahawan kecil.

Langkah sedemikian tidak mustahil. Ia pernah dikritik Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, yang berkata cukai ke atas e-perniagaan akan hanya membebankan usahawan muda.

Sama ada benar atau tidak GST, kini pada kadar 6% akan ditingkatkan, juga adalah punca utama kebimbangan.

Awal minggu ini, seorang ahli ekonomi meramalkan kenaikan 2%, bagaimanapun dinafikan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani, 2 bulan lalu.

Ramai melihat Bajet 2017 sebagai “bajet pilihan raya” dengan spekulasi kemungkinan pilihan raya umum sebelum bajet berikut dibentangkan.

Semalam, Najib menolak semua spekulasi itu, dan berkata kerajaan tidak akan meletakkan kepentingan politik jangka pendek terlebih dahulu, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memastikan asas ekonomi terus kukuh dan berdaya saing.