Bekas KM Sabah dakwa tidak terlibat pindaan 1976

Harris Salleh

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah, Harris Salleh menjelaskan beliau tidak dirujuk semasa pindaan kepada Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan 1976 mengenai status Sabah dan Sarawak.

“Parti Berjaya tidak ada kena mengena dengan Perkara 1 (2) yang dipinda” kata Harris dalam satu kenyataan dilaporkan Daily Express.

“Tiada seorang pemimpin Berjaya terlibat di dalamnya berikutan nahas udara yang meragut nyawa Ketua Menteri Fuad Stephens pada 6 Jun 1976.”

Beliau menegaskan kerajaan Sabah tidak meminta pindaan itu. “Jelas sekali, kami tidak mempunyai kawalan ke atas Parlimen,” katanya.

Beliau juga berkata, “Kami di Berjaya tidak membuat keputusan tanpa tekanan dari seberang Laut China Selatan.”

Harris berkata demikian sebagai mengulas artikel media sosial yang menyenaraikan nama ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak yang menyokong pindaan 1976.

Katanya, ia bukan terletak padanya untuk bersetuju atau tidak dengan pindaan itu “kerana Parlimen sudah membuat keputusan”.

Pindaan ini memberikan Sabah dan Sarawak status yang lebih rendah seperti 12 dan 13 negeri di Persekutuan Tanah Melayu daripada status mereka sebelum ini sebagai sekutu Semenanjung Malaysia di dalam Persekutuan Malaysia.

Harris bersetuju kerajaan Sabah boleh menterbalikkan pindaan 1976 dengan meluluskan usul di Dewan Undangan Negeri dan memperoleh pindaan kerajaan Persekutuan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

“Pembangkang boleh memberi sokongan mendapatkan majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meluluskan pindaan itu,” katanya.

Kerajaan Berjaya di bawah pimpinan Harris dikalahkan pada 1985 oleh Parti Bersatu Sabah, yang diketuai Joseph Pairin Kitingan.

Laporan Daily Express juga memasukkan senarai ahli Parlimen Sabah dan Sarawak yang mengundi pindaan 1976.

Ia berkata, daripada 130 ahli Parlimen yang menyokong pindaan itu, semua 22 dari Sarawak memihak kepadanya. Bagaimanapun, Hansard tidak mencatatkan undi oleh Leo Moggie Anak Irok (Kanowit) dan Ting Ling Kiew (Bintulu).

Lapan ahli Parlimen Sabah – Ghani Gilong (Kinabalu), Said Keruak (Kota Belud), Pengiran Ahmad Pengiran Indar (Kinabatangan), Peter Lo (Gaya), James Stephen Tibok (Penampang), Buja Gumbilai (Tuaran), Alex Pang (Tawau), dan Peter Lim (Sandakan) – menyokong pindaan itu.

Dua ahli Parlimen dari negeri ini, Mustapha Harun (Marudu) dan Pengiran Tahir Pengiran Patera (Kimanis), disenaraikan dalam Hansard sebagai tidak hadir pada 12 dan 13 Julai 1976.

Seramai 6 ahli Parlimen Sabah yang berikut tidak disebut dalam Hansard: Madina Unggut (Bandau), Ajad Oyung (Labuk-Sugut), Mohamed Taufeck Asneh (Hilir Padas), Stephen Robert Evans (Keningau), Mohd Salleh Abdullah (Silam) dan Abdul Rashid Jais (Ulu Padas).

Pindaan ini ditentang 4 ahli Parlimen daripada DAP iaitu Lim Kit Siang, Tan Chee Khoon, Farn Seong Than dan Lee Lam Thye.

Parti Sarawak tuntut permohonan maaf daripada Ramlah Adam