GST kekal 6%

gst_bajetKUALA LUMPUR: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kekal pada 6% pada 2017, kata Datuk Seri Najib Razak.

Berucap membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat hari ini, perdana menteri mengumumkan sehingga 19 Oktober lalu, kerajaan berjaya mengutip RM30 bilion GST.

“Saya mahu menegaskan janganlah percaya gembar-gembur kadar GST akan dinaikkan. Ini cuma cakap-cakap kosong dan tidak benar sama sekali,” katanya.

Kerajaan juga mencadangkan golongan kelainan upaya, termasuk anggota entiti kebajikan swasta (PCE) memperoleh manfaat daripada pelepasan GST.

Kerajaan mencadangkan pelepasan GST diberikan terus kepada pemegang kad OKU sah ke atas peralatan diluluskan yang diperoleh daripada pembekal ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Selain itu, bagi menyelaraskan layanan khas di 3 zon bebas melibatkan Zon Perdagangan Bebas (FIZ) dan Zon Perindustrian Bebas (FCZ), GST tidak dikenakan ke atas bekalan atau pindahan barang yang dibuat dalam FIZ dan antara FCZ, serta GST tidak dikenakan dan tidak dibayar ke atas barangan yang dimport ke FIZ.

Begitu juga pindahan barang dari FIZ dan FCZ ke kawasan ditetapkan di Langkawi, Labuan, Tioman dan sebaliknya, serta pindahan barang ke gudang yang diluluskan di bawah Skim Penggudangan atau sebaliknya.

Selain itu, bagi menyelaraskan layanan antara barangan import dan barangan dari Kawasan Utama Kastam (PCA) serta bagi memudahkan pentadbiran GST di bawah Skim Penggudangan, kerajaan mencadangkan GST tidak dikenakan ke atas barangan dari PCA yang membabitkan Gudang Pengilangan Berlesen, Gudang Eksais dan FIZ yang didepositkan ke dalam dan dibekalan antara gudang menerusi Skim Penggudangan.