Keluar dewan, rakyat akan nilai pembangkang, kata Najib

najibKUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat menilai sikap wakil rakyat pembangkang yang bertindak keluar Dewan Rakyat sewaktu ucapan Bajet 2017 hari ini.

“Rakyat mesti menilai perangai mereka dan rakyat kena buat keputsuan bila sampai masanya. Kita mesti menghormati orang walaupun berbeza pendapat dan ideologi. Kita kena bersopan tunjuk tingkah laku yang mulia,” kata Najib kepada wartawan selepas membentangkan bajet.

Dewan Rakyat kecoh apabila ahli Parlimen pembangkang beramai-ramai mengangkat plakad “#Siapa MO1?”

Rayuan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia supaya ucapan Najib tidak diganggu juga tidak diendahkan.

Wakil rakyat pembangkang kemudian bertindak melangkah keluar beramai-ramai meninggalkan dewan, kecuali dari PAS, di samping bekas menteri Datuk Seri Shafie Apdal yang kini mengetuai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Najib kemudian menyatakan penghargaannya kepada wakil rakyat yang terus kekal mengikuti pembentangannya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata beliau kecewa dengan tindakan pembangkang itu.

“Kita diberi gelaran Yang Berhormat (YB) dan Dewan Rakyat dipanggil sebagai dewan yang mulia. Dalam dewan kita tak boleh kata suara kita sahaja yang betul, kita kena mendengar.

“Dalam tradisi pembentangan bajet, itu adalah masa untuk kerajaan membahaskan bajet. Jadi sama ada kita suka atau tidak, kena dengar. Kita ada peluang untuk membantah dengan cara yang tertib,” katanya.