Kerajaan tak perlu takut laksana pembungkusan kosong, kata CAP

SM-Mohd-Idristelur-rokok

PETALING JAYA : Malaysia tidak perlu takut dengan kemungkinan tindakan mahkamah pemain dalam industri berhubung perlaksanaan pembungkusan kosong rokok, kata persatuan pengguna.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) S.M Mohammed Idris berkata, pembungkusan kosong rokok perlu disegerakan walaupun terdapat kemungkinan diberi amaran oleh Persekutuan Pengeluar Tembakau Malaysia (CMTM) yang dianggotai British American Tobacco (Malaysia) Berhad, JT International Berhad dan Philip Morris (Malaysia) Sdn Bhd.

“Kerajaan (seandainya dikuatkuasakan pembungkusan kosong pada produk tembakau) mungkin membawa kesan mendalam terhadap penggunaan ‘trademark’ dan hak milik intelektual dalam industri lain.

“Namun begitu Australia dan United Kingdom menerajui isu ini. Australia, negara pertama melaksanakannya pada 2012, diheret ke mahkamah oleh JT International dan British American Tobacco,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Mohamed berkata, mahkamah membuat keputusan memihak kepada Australia dalam keputusan 6 kepada 1 iaitu “tidak ada pemerolehan hak milik intelektual oleh kerajaan dalam rancangannya melaksanakan pembungkusan kosong dengan grafik kesihatan”.

Katanya, tahun lalu British American Tobacco, Imperial Tobacco, Philip Morris International dan Japan Tobacco International mengambil tindakan Mahkamah Tinggi di United Kingdom bagi membantah pembungkusan rokok berjenama yang akan dikuatkuasakan pada Mei 2016.

Menurut Mohamed, hakim dalam keputusannya menyatakan syarikat berkenaan tidak berhak menerima pampasan kerana mereka terbabit kegiatan “membawa kos yang besar ke atas negara” iaitu dari segi penjagaan kesihatan awam.

Selain itu, beliau turut menyarankan agar kerajaan menimbangkan pemberian lesen kepada penjual rokok dan pengeluar tembakau.

“Langkah ini wajar bagi memantau penjual rokok yang sah dan membasmi rokok seludup. Ketika ini terdapat 80,000 penjual rokok di Malaysia, tidak termasuk penjual di tepi jalan.

“Empat negara anggota Asean melaksanakan pemberian lesen kepada penjual/peruncit. Brunei mengenakan caj bersamaan RM976.25 bagi setiap lesen sementara Singapura, RM1,171.75,” katanya.

Pada 2012, timbalan menteri kesihatan ketika itu, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata kementerian tidak merancang memperkenalkan pembungkusan kosong rokok seperti dilakukan Australia dan United Kingdom.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2016/05/30/cap-gesa-pelaksanaan-pembungkusan-kosong/