Kerajaan tiada kuasa bina sekolah menengah Tamil

penang-tamil-schoolPETALING JAYA: Kerajaan masih belum meluluskan pembinaan sekolah menengah Tamil pertama di Pulau Pinang disebabkan tiada peruntukan atau kuasa mengikut Akta Pendidikan 1996, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon.

Chong berkata, dalam akta tersebut kerajaan hanya boleh membina sekolah kebangsaan, sekolah swasta dan sekolah antarabangsa.

“Jadi tiada ada isu dalam hal ini. Mereka boleh gunakan sekolah swasta atau antarabangsa yang mempunyai mata pelajaran Tamil jika mereka mahu. Kerajaan tidak halang dari segi pendidikan.

“Kita cuma berikan pilihan mengikut akta yang ada,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pulau Pinang, Prof Dr. Ramasamy Palanisamy yang kecewa permohonan untuk membina sekolah menengah Tamil pertama di negeri itu dibuat sejak 3 tahun lalu masih tidak berjaya.

Ramasamy berkata setakat ini hanya 28 buah sekolah rendah kebangsaan Tamil wujud di negeri itu.

Isu ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto mengenai ketidakprihatinan kerajaan terhadap sektor pendidikan masyarakat Tamil yang mahukan layanan sama rata.

Mengulas lanjut, Chong berkata Ramasamy tidak patut menyalahkan kerajaan bertindak berat sebelah dan menyamakan dengan kewujudan sekolah menengah Cina yang sudah sedia ada.

“Itu adalah sekolah persendirian dan ditubuhkan sebelum kemerdekaan lagi. Jadi selepas kemerdekaan kita tidak pun ada sekolah bahasa Inggeris. Sekolah Inggeris pun ditukarkan kepada aliran bahasa Melayu dan sekolah menengah jenis kebangsaan.

“Apa yang sudah ada, kita hanya teruskan sahaja. Kita (kerajaan) bukan tidak benarkan, kita cuma mengikut akta yang ada,” katanya.

3 tahun mohon bina sekolah Tamil tapi tiada jawapan, kata Dr Ramasamy