PETALING JAYA: Cadangan Amanah dan Barisan Nasional (BN) untuk membentangkan pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, adalah satu perkembangan positif, kata peguam.
Bercakap kepada FMT, peguam syariah Nizam Bashir berkata ia adalah sesuatu yang baik dengan mempunyai lebih banyak pilihan di atas pindaan yang dicadangkan PAS itu.
Beliau mengulas laporan yang Putrajaya mungkin akan membentangkan pindaan rang undang-undang (RUU) sendiri bagi meminda akta itu, yang akan menjadikan ia pindaan ke-3 dicadangkan selepas RUU persendirian PAS dan ahli Parlimen Amanah.
“Isu ini agak mudah sebenarnya dan ketiga-tiga parti pada dasarnya mempunyai matlamat sama iaitu memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah,” kata beliau sambil menambah walaupun cadangan pindaan berbeza secara khusus, matlamat keseluruhan adalah sama.
Nizam berkata, secara idealnya pihak berkenaan perlu duduk dan merumuskan satu rangka kerja bagi pindaan kepada akta itu yang akan dibentangkan di Parlimen.
“Jika mereka tidak boleh merumuskan satu rangka kerja, maka kita akan berhadapan dengan keadaan bercelaru di mana setiap pihak cuba menolak pindaan dicadangkan,” katanya, sambil menambah ini akan membawa kepada satu keadaan di mana setiap pihak cuba meyakinkan pengundi atas pagar untuk menyokong pindaan berkenaan.
Nizam menegaskan ahli Parlimen bukan Islam mesti mengambil kepentingan dalam isu ini dan mengundi apabila tiba masanya.
“Ahli Parlimen bukan Islam juga mempunyai kewajipan mewakili pengundi Islam mereka. Justeru, mereka mesti menyuarakan pandangan pengundi serta dalam mengundi mengenai perkara itu.”
Seorang lagi peguam syariah, Akberdin Abdul Kader menyuarakan sentimen sama dan berkata perbincangan semasa berkenaan pindaan itu terhad kerana satu-satunya cadangan selama ini datang daripada PAS.
“Terdapat sentimen ‘take it or leave it’, tetapi dengan lebih banyak pilihan, kita boleh meluaskan skop perbincangan mengenai perkara itu,” katanya kepada FMT.
Tambahan pula katanya, adalah logik bagi Amanah dan BN meneruskan cadangan pindaan mereka dengan rakan gabungan masing-masing dan ahli sebelum dibentangkan di dalam Dewan.
“Sesungguhnya, Amanah dan BN tidak akan membentangkan mana-mana RUU jika sekutu dan ahli masing-masing tidak bersetuju.
“Mudah-mudahan, sekarang perbincangan melampaui cadangan satu pihak sahaja, rakyat dan ahli Parlimen akan menjadi lebih terbuka untuk membincangkan pelbagai pindaan yang dicadangkan dan bukannya menolak bulat-bulat.”
Di Parlimen semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaan sedang mengkaji rancangan untuk meminda akta itu yang kini mengehadkan hukuman dikenakan terhadap pesalah syariah kepada penjara 3 tahun, 6 sebatan dan denda RM5,000.