Mahkamah kekal perintah beku akaun bapa saudara anak yatim

tipu-duit

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah hari ini mengekalkan perintah membekukan 3 akaun bank 2 bapa saudara kepada kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa dalam kemalangan maut di Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (Duke) pada tahun lepas.

Hakim Nassir Abdul Aziz membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Hamlizar Husain, 44, dan Muhammad Faizznur Asyraf Husain, 26, selaku pemohon pertama dan kedua untuk mengetepikan perintah tersebut.

Hakim memerintahkan pembekuan akaun itu sehingga kes yang membabitkan hak penjagaan dan nafkah 2 kanak-kanak tersebut iaitu Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 8, dan Nur Firuza Aqila Fairuz Nizam, 4, selesai.

Pada 19 Mei 2016, Yusnidah Husain, 46, berjaya mendapatkan perintah membekukan 3 akaun milik 2 adiknya itu, manakala 19 Julai lepas Hamlizar dan Muhammad Faizznur Asyraf memfailkan permohonan itu secara ex parte bagi mencabar perintah berkenaan.

Hakim turut memerintahkan pihak pengurusan Maybank memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membekalkan sebarang dokumen berkenaan transaksi sumbangan orang awam dalam ketiga akaun tersebut.

Hakim juga memerintahkan Yusnidah selaku responden melantik akauntan bertauliah untuk mengaudit urusan transaksi ketiga akaun berkenaan bagi mendapatkan jumlah sumbangan orang awam yang dikreditkan dan jumlah sebenar yang dikeluarkan atau sebarang penemuan lain.

Laporan berkenaan hendaklah difailkan di mahkamah sekurang-kurangnya 2 hari sebelum prosiding perbicaraan kes induk nafkah didengar pada 28 dan 29 November ini.

Sementara itu, mahkamah melarang Hamlizar dan Muhammad Faizznur Asyraf menjalankan sebarang transaksi terhadap akaun Maybank berkenaan sehingga kes induk berkenaan diputuskan dan siasatan polis selesai.

Yusnidah diwakili peguam Mahyuddin Md Zahari, manakala Hamlizar dan Muhammad Faizznur Asyraf diwakili peguam Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar.

Dalam kejadian pada 2 Mei 2015, Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya Nova Safitri Azhari, 27, dan bayi mereka Nur Firuza Annisa, 6 bulan, yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Muda, Batu Caves maut dalam nahas jalan raya.