PAS, Warisan ada cara tersendiri protes Bajet 2017

Bukit-Gantang-Idris-AhmadKUALA LUMPUR: Ahli Parlimen PAS memilih untuk kekal di dalam Dewan Rakyat mendengar ucapan Datuk Seri Najib Razak sewaktu pembentangan Bajet 2017 sehingga habis, meskipun hampir semua pembangkang keluar sebelum tamat sesi itu.

Ahli Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad berkata partinya mempunyai cara tersendiri untuk memprotes Bajet 2017 yang dibawa Najib.

“Kita ada cara protes, iaitu melalui Dewan Rakyat. Perbahasan nanti kita boleh tolak. Sekarang ini kita tunggu di Dewan Rakyat saja.

“Kita hormat speaker. Nak bantah kita buat cara lain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Pembentangan Bajet 2017 hari ini dicemari kekecohan apabila ahli Parlimen Pakatan Harapan bertindak keluar Dewan Rakyat beramai-ramai, selepas ucapan sinis perdana menteri.

Turut keluar Ahli Parlimen PAS Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) merangkap Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Shafie Apdal yang juga presiden Parti Warisan Sabah (Warisan).

Shafie hanya tersenyum ketika ditanya mengenai tindakannya tidak keluar Dewan dan berkata tidak ada apa yang baru dengan Bajet 2017 kerana tetap mengulang peruntukan sama untuk lebuh raya Pan Borneo.

“Sedangkan ada aliran baharu untuk kereta api namun Sabah masih tidak menerima. Kita tidak bercakap mengenai soal kereta api tetapi jalan raya. Keseluruhan bajet tidak ada apa yang baru,” katanya.

Kekecohan bermula apabila Najib menyebut pihak tertentu mendakwa Bajet 2017 sebagai “bikinan sandiwara”.

“Ada kita dengar tuduhan yang Bajet 2017 hanya sandiwara, tanpa ‘substance’ dan kerajaan tidak cukup duit. Ada pemimpin pembangkang kata Malaysia mengharungi ribut ekonomi.

“Saya nak tanya, siapa yang main sandiwara? Siapa yang tiada ‘substance’?,” soal ahli Parlimen Pekan itu.

Kenyataan itu menimbulkan kemarahan wakil rakyat pembangkang yang bertindak mengangkat poster “#Siapa MO1?” dan keluar dari tempat duduk mereka.

Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia segera mengarahkan mereka kembali ke tempat duduk masing-masing, tetapi gagal.