Pekerja Malaysia rela gaji dipotong jika kerja dari rumah

pekarja_gaji

PETALING JAYA: Lebih 60% rakyat Malaysia sanggup menerima 10 hingga 20% potongan gaji demi hak istimewa untuk bekerja dari rumah, menurut satu kaji selidik.

Panduan Gaji Hays Asia 2016 membuat kenyataan ini berdasarkan kaji selidik terhadap 1,137 pekerja di Malaysia.

Kira-kira 42%s daripada kaji selidik responden berkata, mereka bersedia melepaskan 10% daripada gaji mereka untuk bekerja dari rumah, manakala 23% berkata akan mengorbankan sehingga 20% daripada gaji untuk menikmati keistimewaan yang sama.

Menurut kaji selidik itu, berhadapan dengan kesibukan trafik dan kos memandu kereta ke tempat kerja setiap hari – termasuk bayaran parkir kereta, tol dan minyak – adalah faktor utama rakyat Malaysia sanggup berkorban sebahagian daripada gaji mereka.

Menurut Pengarah Serantau Hays Malaysia, Tom Osborne, Pemantauan Ekonomi Malaysia oleh Bank Dunia 2015 menunjukkan pekerja yang berulang ke tempat kerja membazirkan lebih 250 juta jam terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di kawasan Greater Kuala Lumpur pada 2014.

“Data Bank Dunia menilai waktu dan bahan api yang digunakan sehingga RM3,100 seorang, atau lebih 1.1 % daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan negara, mengatakan kos besar itu akan menjadi lebih teruk dengan keadaan lalu lintas yang semakin mencabar,” kata Osborne.

Kaji selidik itu juga melaporkan fleksibiliti untuk bekerja dari rumah mampu ” meningkatkan kepuasan pekerja” dan memberi perbezaan dalam mencari lebih ramai pekerja berpotensi untuk membantu syarikat terhadap pesaingnya yang tidak menawarkan fleksibiliti sama.

Isu keseimbangan kerja dan kehidupan juga menunjukkan prestasi positif di kalangan pekerja Malaysia, dengan kadar 34% berkata ia akan menjadi faktor utama bagi mereka terus setia dengan majikan.

Osborne berkata 27% pekerja Malaysia merujuk hal yang sama, menyatakan mereka tidak akan berhenti kerja kerana kemudahan lokasi kerja.

Kaji selidik itu juga menunjukkan lokasi kerja memainkan peranan lebih penting di kalangan pekerja di Malaysia berbanding negara Asia lain termasuk Singapura, Jepun dan China.

“Kerana itu, kira-kira 18% dpekerja Malaysia ingin menukar pekerjaan kerana lokasi kerja berbanding hanya 11% di Singapura dan China, dan 15% di Jepun,” kata Osborne.

Panduan Gaji Hays Asia 2016 membuat kesimpulan majikan di Malaysia mesti mengetahui pandangan pekerja mereka terhadap lokasi kerja dan keseimbangan kerja dengan kehidupan, serta mempertimbangkan kebenaran mereka bekerja dari rumah, atau memasukkan dasar tempat atau jam bekerja lebih fleksibel.

Menurut kaji selidik itu, majikan turut mendapat manfaat daripada situasi itu, termasuk mengurangkan kehilangan masa bekerja, produktiviti lebih tinggi, dan juga sebagai tarikan pekerja dan pengekalan kadar lebih tinggi.