Pendakwa raya ambil serius insiden campak ular dalam kolam

campak-ular

PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara memberi jaminan kepada orang ramai yang ia akan memberi pertimbangan sewajarnya kepada siasatan polis berhubung insiden murid trauma dilempar ular dalam kolam berlumpur semasa kursus motivasi.

Dalam satu kenyataan 3 perenggan yang disiarkan di laman webnya, ia berkata memandang serius perkara itu.

“Oleh itu, Jabatan Peguam Negara akan menunggu hasil siasatan dan akan memberi pertimbangan sewajarnya kepada perkara itu itu,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, penyiasat sedang mengkaji kemungkinan jurulatih Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) “mendera” murid-murid di sebuah sekolah di Kuala Kangsar, Perak.

Ketua polis berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana para peserta terdiri daripada kanak-kanak.

“Pada pendapat saya, terdapat unsur penderaan kerana latihan untuk murid tidak boleh disamakan dengan komando dengan membuang ular dalam kolam berlumpur,” katanya.

Khalid, bagaimanapun, tidak menyatakan di bawah peruntukan undang-undang mana siasatan dijalankan.

Beliau juga menggesa individu yang merakam kejadian itu tampil membantu polis dalam siasatan.

Video berkenaan menunjukkan kanak-kanak perempuan berusia antara 10 dan 12, menjerit dan menangis selepas diminta masuk ke dalam sebuah kolam berlumpur dengan ular sawa di dalamnya tersebar awal minggu ini.

Kejadian itu berlaku di ibu pejabat APM, Kuala Kangsar hujung minggu lepas, semasa 3 hari kem motivasi bagi pelajar sekolah rendah SK Beluru.

APM kelihatan mengelak daripada penglibatan kejadian itu, berkata penggunaan haiwan tidak ada dalam modulnya.

Ia juga menggantung 10 kakitangannya – 4 jurulatih dan 6 pembantu – yang terlibat dalam kursus itu.

Timbalan Pesuruhjaya APM, Roslan Wahab memohon maaf kepada semua murid dan ibu bapa mereka, berkata kejadian itu “tidak sepatutnya berlaku”.

PAUTAN:

Insiden campak ular: Wujud unsur penderaan, kata polis