RM90 juta: PAGE puji komitmen tingkat penguasaan bahasa Inggeris

azimahPETALING JAYA: Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan (PAGE) hari ini mengalu-alukan peruntukan RM90 juta untuk memperluas program penguasaan bahasa Inggeris.

Pengerusinya Datin Noor Azimah Rahim berkata kerajaan sangat bermurah hati, mencerminkan kesungguhan Putrajaya untuk meningkatkan penguasaan lingua franca global itu.

“Ibu bapa perlu memanfaatkan peruntukan itu,” kata Azimah kepada FMT.

Petang tadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2017 mengumumkan peruntukan itu akan digunakan untuk sekolah melaksanakan program Cambridge English, Dual Language dan Highly Immersive.

Najib turut mengumumkan peruntukan RM570 juta untuk membina semula 120 sekolah daif dan menaik taraf 1,800 makmal sains seluruh negara.

Azimah berkata langkah itu mengalihkan penekanan pembelajaran sains kepada pembelajaran melalui eksperimen.

“Ini menjadikan pembelajaran sains menyeronokkan,” katanya.

Mengulas pengumuman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan menyediakan tablet bantuan mengajar kepada 430,000 guru secara percuma, Azimah berpendapat para pengajar perlu dilatih untuk menggunakan tablet dalam kelas secara berkesan.

PAGE sebelum ini menggesa matapelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.