Thailand kekalkan amaran keselamatan di tahap tertinggi

Jen Prawit WongsuwonBANGKOK: Pihak berkuasa Thai mengaku terdapat beberapa pergerakan mengenai aktiviti berkaitan keganasan dalam negara tetapi memberi jaminan kerajaan tahu mengenainya, kata Timbalan Perdana Menteri Jen Prawit Wongsuwon.

Prawit yang juga menteri pertahanan berkata, kerajaan meningkatkan pemantauan keadaan keselamatan dalam negara untuk memastikan keselamatan kepada rakyat dan pelancong.

“Kami membuat penggeledahan dan pemeriksaan ke atas lokasi-lokasi yang mencurigakan berikutan maklumat perisikan,” katanya kepada media selepas mesyuarat di sini, semalam.

Kerajaan, menurut beliau, memantau dengan rapi keadaan keselamatan di seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengekang aktiviti yang tidak diingini.

Dua hari lepas, pihak berkuasa Thailand mengumumkan penangkapan 5 orang dan rampasan bom paip selepas individu-individu tertentu mengancam untuk melancarkan serangan bom kereta di bandaraya itu.

Pihak berkuasa melancarkan serbuan berikutan kebocoran memo polis bertarikh 8 Oktober yang menyatakan sekurang-kurangnya lima sasaran di wilayah Samut Prakan, dekat Bangkok menghadapi ancaman serangan bom kereta.

Kelima-lima sasaran yang disebut dalam memo rahsia itu ialah Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Jambatan Bhumibol, muzium udara terbuka Purba Siam, Taman buaya dan zoo Samut Prakan serta muzium Erawan.

Sementara itu, Menteri di Pejabat Perdana Menteri Suwapan Tanyuwattana yang turut hadir dalam mesyuarat berkata, kerajaan mengekalkan amaran keselamatan di tahap tertinggi walaupun keamanan dan ketenteraman wujud di negara itu.

Beliau berkata agensi-agensi keselamatan dan perisikan negara diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di tahap tertinggi untuk membendung kejadian tidak diingini di negara ini.

Suwapan, yang juga bekas pengarah Agensi Perisikan Kebangsaan dilantik untuk mengetuai pusat markas kerajaan yang baru dibentuk untuk memantau keadaan.