Warga KTM mahu kementerian, SPAD tidak campur tangan

Abdul-Razak-ktmb

KUALA LUMPUR: Warga Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mendesak Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menghentikan campur tangan dalam urusan mereka.

Menurut Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM), Abdul Razak Md Hassan, perkara mengenai kereta api harus diuruskan oleh KTMB sendiri berdasarkan fakta ia dimiliki Kementerian Kewangan.

“Bagaimanapun, campur tangan Kementerian Pengangkutan dan SPAD membantutkan pembangunan kami.”

Razak berkata demikian sebagai respons kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berkata KTMB “semakin hampir membuat keuntungan buat kali pertama sejak Malaysia mencapai kemerdekaan.”

Razak menggesa kerajaan tidak membiarkan KTMB dianaktirikan.

“Banyak dana disuntik ke dalam Prasarana dan MRT. KTMB tidak mendapat apa-apa.

“Mangsa sebenar di sini adalah pekerja. Kami tidak dapat memberikan mereka kenaikan gaji, kita perlu mengurangkan kos. Mereka juga perlu membayar klinik panel sendiri kerana KTMB berhutang dengan klinik panel,” kata Razak.

Beliau juga menggesa kerajaan menyediakan lebih banyak set Train Electric Service (ETS), gerabak baru dan meluaskan perkhidmatan KTMB.

“Ini adalah harapan kami bagi Bajet 2017. Ini adalah apa yang kami harapkan kerana kami menyediakan perkhidmatan kepada rakyat.”

Ini bukan kali pertama RUM bercakap mengenai isu itu. Pada Mac tahun ini, Razak berkata penyusunan semula KTMB oleh Kementerian Pengangkutan melalui Pelan Transformasi Perbadanan Aset Keretapi (RAC) akan “memusnahkan KTMB.”

“Dengan semua aset kini berada di bawah RAC, KTMB dikurangkan menjadi pengendali semata-mata. Apa yang berlaku kepada semua kepakaran yang kita ada? Kami menyuarakan kebimbangan kerana tidak mahu KTMB untuk menjadi satu lagi Malaysia Airlines di mana beribu-ribu pekerja diberhentikan,” katanya.

Tak mahu KTMB jadi seperti MAB, henti ambil alih aset