Bekas PM diserang bertalu-talu punca pembangkang keluar Dewan

lim-guan-eng_naji_bajet_600

GEORGE TOWN: DAP mempertahankan tindakan ahli Parlimen keluar Dewan Rakyat beramai-ramai ketika ucapan Bajet 2017 dibentangkan semalam.

Setiausaha agungnya, Lim Guan Eng berkata tindakan itu diambil selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggunakan ucapan bajet untuk terus-terusan menyerang pembangkang, bekas perdana menteri dan 2 bekas timbalan perdana menteri.

“Mereka keluar kerana diserang tidak henti-henti,” katanya kepada wartawan hari ini, seperti dilaporkan NST Online.

Guan Eng yang juga ahli Parlimen Bagan tidak berada dalam Dewan pada masa kejadian kerana beliau pulang ke Pulau Pinang pada jam 5 petang untuk menyambut ketibaan Sultan Perlis dan rombongannya yang melawat negeri itu sempena sambutan 200 tahun Sekolah Penang Free, malam tadi.

Pembentangan Bajet 2017 terganggu apabila ahli Parlimen pembangkang secara tiba-tiba berdiri untuk mencelah ucapan Najib ketika beliau menolak tuduhan pembangkang yang kerajaan tidak mempunyai dana mencukupi.

“Baru-baru ini kita mendengar ada pihak buat tuduhan bahawa Bajet 2017 satu sandiwara kononnya tanpa substance kerajaan tidak mempunyai wang mencukupi.

“Malah ada seorang pemimpin pembangkang menyebut pula Malaysia mengalami ribut ekonomi yang sukar pada kaumnya.

“Saudara saudari sekian saya nak tanya di sini… siapa yang main sandiwara…siapa yang tiada substance..di mana mulanya timbul ribut ini?,” tanya Najib sebelum pembangkang bangun membantah.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia juga cuba mengarahkan semua ahli Parlimen duduk di tempat masing-masing tidak berjaya, dengan ada antara mereka mula menayang plakad tertera “Who is MO1?”.

Ia merujuk kepada gelaran “Malaysian Official One” yang digunakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat dalam tuntutan saman berhubung aset dikaitkan dengan dana 1MDB.

Tahun lalu, ahli Parlimen pembangkang melakukan tindakan sama, memegang plakad tertulis, “Di mana RM2.6 bilion” merujuk kepada wang yang didepositkan ke akan bank peribadi Najib.

Antara yang keluar Dewan Rakyat semalam termasuk ahli Parlimen daripada DAP, PKR, Amanah, Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Parti Warisan.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/10/21/wakil-rakyat-pakatan-harapan-pegang-poster-keluar-dewan-rakyat/