Belon bergas haram di Terengganu, kata MB

Ahmad-Razif_belon_600

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu mengharamkan seketika penggunaan belon bergas khususnya pada majlis rasmi kerajaan negeri serta-merta ekoran tragedi belon meletup yang mencederakan 30 orang di Dataran Batu Burok, semalam.

Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman berkata langkah pengharaman itu dilakukan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang menimpa orang ramai terutama kanak-kanak.

“Arahan serta-merta dikeluarkan agar tiada penggunaan belon pada majlis kerajaan buat sementara waktu…langkah ini diambil untuk mengelak kejadian sama berlaku.

“Maklumat awal kita mendapati belon itu menggunakan gas helium, tetapi saya hairan kerana sekiranya gas itu (helium), kesannya tidaklah seteruk apa yang berlaku,” katanya kepada media selepas melawat mangsa di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, belon dipercayai berisi gas helium itu meletup selepas seorang kakitangan HSNZ cuba memutuskan benang yang mengikat belon dengan menggunakan pemetik api ketika sambutan Hari Penglihatan Sedunia Peringkat Negeri.

Razif berkata pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Kesihatan dan sedang menunggu beberapa lagi laporan daripada pihak tertentu berhubung kejadian ini.

Katanya, pihaknya akan mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penguat kuasa memantau penjualan belon terutama di kawasan pantai di negeri ini bagi melihat penggunaan gas di dalam belon yang dijual supaya tidak mengakibatkan letupan atau kebakaran.

Beliau yang turut berdukacita dengan insiden itu sedang meneliti bentuk bantuan boleh diberikan kepada mangsa yang sebahagian besar adalah kanak-kanak.

“Kita akan pastikan apa yang berlaku ini tidak memberi kesan seperti trauma, kecacatan dan sebagainya kepada mangsa kerana mereka kanak-kanak yang berhak mempunyai masa depan lebih baik,” katanya.

Sehingga kini, 7 mangsa masih dirawat di HSNZ yang mengalami kecederaan dari 2 hingga 19% melecur di bahagian muka, leher dan tangan.

Empat mangsa berusia 12 hingga 33 tahun di tempatkan di Wad Kebakaran, 2 lagi berumur 11 dan 12 tahun di Wad Plastik serta seorang kanak-kanak lelaki 9 tahun dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) manakala 24 mangsa dirawat sebagai pesakit luar.