Keluar Dewan tindakan tidak profesional, kata KJ

Khairy-Jamaluddin_parliment_600

SUNGAI PETANI: Tindakan beberapa ahli Parlimen pembangkang keluar dari Dewan Rakyat semasa pembentangan Bajet 2017 semalam dilihat satu tindakan yang sangat mengecewakan dan tidak profesional.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata walaupun mereka bebas untuk bertindak sedemikian namun sebagai ahli Parlimen, mereka mempunyai peluang untuk membahaskan bajet tersebut di Dewan Rakyat selama 2 minggu.

“Pada ucapan belanjawan saya lihat kita harus mempamerkan tindakan profesional, semalam ialah peluang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai menteri kewangan untuk bentangkan bajet.

“Kalau tidak setuju boleh nyatakan dalam ucapan, perbahasan dan sebagainya, ramai yang kecam tindakan tersebut kerana ia kurang matang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fit Malaysia peringkat negeri di sini hari ini.

Ahli Parlimen pembangkang daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara serta Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin bertindak keluar dewan ketika pembentangan Bajet bertema ‘Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh’ masih berlangsung.

Ahli Parlimen pembangkang turut membuat kecoh dengan mempamerkan plakad bernada sinis sebelum bertindak demikian.

Sementara itu, di Johor Bahru, Ketua Umno Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata kelakuan ahli Parlimen pembangkang itu membuktikan mereka sudah berputus asa dan tidak dapat menerima bajet yang diumumkan.

“Pembangkang keluar kerana mereka berputus asa, bajet itu sememangnya bajet yang menumpukan kepada golongan yang memerlukan bantuan daripada kerajaan.

“Ia juga memberi perhatian khusus kepada kakitangan kerajaan demi memastikan perkhidmatan kerajaan dapat diteruskan dengan baik,” katanya selepas merasmikan Hari Graduasi Maktab Sultan Abu Bakar.

Nur Jazlan yang juga timbalan menteri dalam negeri berkata bajet yang diumumkan Najib itu juga merupakan bajet yang popular diterima semua lapisan masyarakat.