Nama Penang Free School kekal nama rasmi, kata Raja Perlis

SMK Penang Free School

GEORGE TOWN: Nama Penang Free School dikekalkan sebagai nama rasmi sekolah, umum Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Baginda berkata Kementerian Pendidikan meluluskan pengekalan nama asal itu, lapor Bernama. Sebelum ini, sekolah tersebut dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Penang Free.

Tuanku Syed Sirajuddin, bekas pelajar sekolah dan penaung Persatuan Old Frees mengumumkan perkara itu dalam ucapan baginda di majlis makan malam sekolah semalam.

Menurut Bernama, lebih 3,000 bekas pelajar dan bekas guru meraikan acara itu, menandakan sambutan ulangtahun ke-200 sekolah itu diasaskan oleh Reverand R S Hutchings.

Penang Free School adalah sekolah aliran Inggeris yang tertua di Malaysia dan Asia Tenggara.

Acara makan malam itu dimasukkan dalam Malaysia Book of Records sebagai himpunan alumni terbesar di negara ini dengan 3,130 kehadiran berdaftar.

Sambutan 200 tahun itu dirancang oleh pengerusi jawatankuasa acara Abdul Rafique Abdul Karim sejak 2011, dan menyaksikan alumni dari seluruh dunia kembali melangkah ke sekolah.

Sempena sambutan itu juga, Pos Malaysia menerbitkan setem peringatan. Kapsul masa, yang akan hanya dibuka selepas 50 tahun, turut ditanam dalam kawasan sekolah.

Sekolah berusia 200 tahun menunggu permohonan status warisan diluluskan oleh Jabatan Warisan Negara.