Pastikan tablet guru bukan menerusi syarikat ‘kabel’ kerajaan

Michael-Jeyakumar_tablet_600

PETALING JAYA : Masalah akan timbul berhubung pemberian tablet kepada guru kerana tender projek itu mungkin diberi kepada syarikat ada kaitan dengan kerajaan, kata Dr Michael Jeyakumar Devaraj.

Ahli Parlimen Sungai Siput itu berkata kerajaan sepatutnya memberikan baucar RM700 seorang kepada guru untuk membeli tablet masing-masing.

Beliau berkata kerajaan juga perlu melantik 4 hingga 5 syarikat yang membolehkan guru menggunakan baucar berkenaan untuk membeli tablet.

“Ia supaya ada persaingan dan lihat siapa bagi spesifikasi dan jaminan terbaik supaya guru membeli apa yang terbaik untuk mereka.

“Kami khuatir sesetengah syarikat yang mungkin ada hubungan dengan kerajaan akan diberikan hak menyediakan tablet berkenaan.

“Saya tak terkejut jika semua tablet itu nanti tidak boleh dipakai, kualiti rendah, tidak ikut spesifikasi dan membazirkan duit,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata insentif yang diumumkan menerusi Bajet 2017 semalam itu bagus untuk guru tetapi pelaksanaannya tidak dibacakan secara jelas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Bagaimana dengan pelaksanaannya? Anda boleh meletakkan banyak duit tapi macam mana nak belanjakan? Adakah ia akan diberi kepada syarikat kroni dan memonopolinya,” katanya.

Dalam Bajet 2017 semalam, Najib mengumumkan 430,000 guru akan menerima tablet bantuan mengajar bagi memudahkan tugasan mereka dan RM340 juta diperuntukkan untuk tujuan itu.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Kamarozaman Abd Razak berkata pembangkang tidak sepatutnya menganggap peruntukan itu seolah-olah kerajaan mempermainkan guru.

“Pada pandangan kami apa yang perdana menteri buat itu datang daripada akar umbi. Macam kesatuan saya banyak menyalurkan keperluan pihak sekolah.

“Jadi kalau pihak pembangkang mengatakan itu pembaziran, saya rasa ia tidak sepatutnya tidak berlaku sebab kita mengelola sebuah negara,” katanya.

Kamarozaman berkata pemberian tablet itu daya usaha untuk meningkatkan kaedah pengajaran dan pembelajaran ke arah lebih sofistikated dan maju.

“Jadi mungkin budaya mengajar akan datang pun mungkin akan berubah apabila semua guru diberi tablet,” katanya.