Pelepasan cukai telefon pintar, internet bantu B40

Dr Yeah Kim LengPETALING JAYA: Perluasan pelepasan cukai bagi pembelian akhbar arus perdana, telefon pintar, tablet, langganan internet serta bayaran ahli gimnasium akan menggembirakan pembayar cukai.

Diumumkan sebagai pelepasan cukai gaya hidup dalam pembentangan Bajet 2017 semalam, Dekan Fakulti Perniagaan di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia percaya ianya akan melegakan banyak pihak terutamanya kumpulan B40.

Pelepasan itu tambahan kepada 3 jenis pembelian sedia ada iaitu bahan bacaan, komputer dan peralatan sukan.

“Peralatan seperti telefon pintar dan tablet merupakan sesuatu yang popular dalam kalangan penduduk Malaysia,” kata Dr Yeah Kim Leng kepada FMT.

“Sudah tentu ia membawa kebaikan kepada banyak pihak.”

Pelepasan ini diberi sehingga 2,500 ringgit setiap tahun, berkuatkuasa mulai tahun taksiran 2017, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan belanjawan negara semalam.

Melihat daripada sudut perniagaan pula, Kim Leng percaya pelepasan cukai gaya hidup akan membantu perusahaan kecil dan sederhana.

“Sesuatu yang mendatangkan manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutama kepada majikan yang dapat memberikan pemberian menarik kepada pekerja melalui pemotongan cukai,” katanya.