Peralatan baharu tidak selesaikan kesesakan hospital awam

Dr Michael Jeyakumar DevarajPETALING JAYA: Bantuan pembelian peralatan baharu untuk hospital swasta bukan penyelesaian kepada kesesakan di hospital awam, tegas Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Mengulas rancangan kerajaan untuk bekerjasama dengan pihak swasta atau badan bukan kerajaan yang mengendalikan hospital amal, Ahli Parlimen Sungai Siput sebaliknya menyarankan kerajaan supaya membuka hospital umum kedua di semua negeri.

“Sudah dekat 40 tahun hospital yang sama,” kata Dr Michael Jeyakumar Devaraj, mengambil hospital umum di Ipoh sebagai contoh.

“Walaupun terdapatnya penghijrahan luar bandar ke bandar yang amat besar, ini tidak boleh ditangani dengan hospital swasta.”

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2017 semalam menyediakan pinjaman RM20 juta untuk membiaya pembelian peralatan di hospital amal kendalian swasta atau NGO.

Michael juga seorang pengamal perubatan dan menjalankan sebuah klinik di Sungai Siput yang dibuka seminggu sekali dan beroperasi dalam kerugian.

“Setiap negeri perlu hospital umum yang kedua seperti Pulau Pinang dan Ipoh, Perak.

“Kalau anda pergi sana terlalu sesak. Susah nak kerja juga,” katanya.

Ditanya sama ada jumlah pinjaman RM20 juta itu mencukupi, Michael berkata bergantung kepada keperluan hospital.

Beliau mengambil contoh pusat dialisis amal kendalian NGO yang sudah sedia ada di Malaysia.

“Jika pinjaman ini boleh dipakai oleh mereka bagi memperkembangkan servis mereka adalah baik,” katanya.

Najib turut mengumumkan RM25 bilion untuk membina dan menaiktaraf hospital baharu serta klinik kesihatan di Perlis, Kuching, Mukah, Jempol, Muar dan Johor Bahru; naik taraf kemudahan hospital termasuk peralatan rawatan kardiologi di Hospital Serdang di Selangor, Hospital Pulau Pinang, dan Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru, serta pembelian 100 buah ambulan; operasi 3110 klinik kerajaan; dan RM4 bilion untuk bekalan ubat, isian semula, vaksin dan bahan uji kepada semua hospital dan kemudahan kesihatan kerajaan.