Timbalan presiden PRS dakwa pemilihan tidak telus

Joseph-Entulu_prs_600

BINTULU: Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan berdepan dengan krisis kepimpinan sekiranya pemilihan pemimpin utama parti tidak telus, kata Timbalan Presiden PRS Datuk Joseph Entulu Belaun.

Beliau mendakwa kaedah mengendalikan urusan pengundian parti pada Persidangan Perwakilan PRS kali ini meragukan kerana adanya pertandingan bagi jawatan itu.

“Saya tidak puas hati sebab menerima aduan sejak adanya pertandingan jawatan timbalan presiden PRS, ada orang menyimpan senarai perwakilan sehingga hari ini,” katanya selepas merasmikan persidangan 3 tahun sekali PRS bagi pergerakan Wanita dan Pemuda di sini, hari ini.

Entulu bakal dicabar Datuk Joseph Salang Gandum yang juga bekas timbalan menteri penerangan, komunikasi, kesenian dan kebudayaan dalam perebutan jawatan timbalan presiden itu, yang disandangnya sejak 2006.

Entulu yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri mendakwa senarai itu tidak diketahui langsung berikutan cara pihak tertentu mengendalikan pemilihan parti tahun ini.

“Saya nak memastikan bahagian yang mencalonkan nama saya,” katanya sambil menjelaskan kritikannya itu bertujuan mengelak timbulnya keraguan selepas keputusan pemilihan diumumkan esok.

Terdahulu, dalam ucapannya Entulu mendakwa adanya ketidaktelusan dalam pemilihan timbalan presiden PRS kali ini dengan menggunakan analogi ibarat menjaga “jam tangan Rolex RM5 juta” yang dikawal dengan ketat.

Katanya, beliau tidak mahu PRS berpecah-belah seperti Parti Bansa Dayak Sarawak pada 2003 akibat krisis kepimpinan.

Seramai 635 anggota perwakilan daripada 346 bahagian utama, 125 daripada pemuda dan 164 daripada wanita menyertai persidangan itu.

PRS adalah parti komponen BN di Sarawak selain Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) yang dulu dikenali sebagai Parti Progresif Demokratif Sarawak (SPDP).