Donald Trump dituduh tawar RM41,850 kepada pelakon porno

draken

Washington: Seorang pelakon porno pada Sabtu tampil sebagai wanita terbaharu yang menuduh Donald Trump mengganggu secara seksual, apabila mendakwa calon presiden Parti Republican menawarkan AS$10,000 (RM41,850) jika dia pergi ke bilik hotelnya secara berseorangan.

Jessica Drake salah seorang daripada sekurang-kurangnya 11 wanita yang menuduh hartawan hartanah itu mencabul, mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya atau mencium mereka secara paksa.

Bercakap di satu sidang media di Los Angeles, Jessica yang ditemani peguam berprofil tinggi Gloria Allred berkata dia bertemu Trump di satu kejohanan golf di Lake Tahoe, California pada 2006.

“Dia cuba mengurat saya dan pelawa menemaninya bersiar di padang golf,” kata Jessica, dan menambah Trump kemudian pelawa dia ke bilik hotel. Jessica penuhi permintaan itu bersama dua wanita lain.

Di bilik hotel, Trump yang memakai baju tidur “memeluk dan mencium kami tanpa izin.”

Jessica juga ditanya bagaimana rasanya berlakon filem porno.

Sekembalinya Jessica ke bilik penginapan sendiri, dia dihubungi Trump yang meminta dia supaya datang semula ke biliknya dan menjemputnya berparti.

“Apa yang kau mahu? Berapa banyak?” kata Trump, menurut Jessica.

Selepas menolak permintaan itu, Jessica berkata dia mendapat satu lagi panggilan sama ada daripada Trump atau lelaki lain yang menawarkan AS$10,000 (RM41,850) dan penggunaan pesawat peribadi Trump untuk pulang ke Los Angeles jika dia terima pelawaan jemputan itu.

Di sidang media itu, Allred — yang juga mewakili 2 wanita lain yang menuduh Trump mengganggu mereka secara seksual — menunjukkan gambar Trump dan Jessica di kejohanan golf itu.

Kumpulan kempen Trump menafikan dakwaan Jessica.

“Cerita itu palsu dan mengarut,” menurut satu kenyataan. “Trump tidak kenal orang itu, tidak ingat orang itu dan tidak berminat untuk mengenali orang itu.”

“Ini satu lagi usaha kempen Clinton untuk memfitnah calon yang hari ini mengungguli 3 tinjauan berbeza,” menurut kenyataan itu lagi, merujuk kepada pesaing Parti Demokrat Hillary Clinton.

Trump menyaksikan kempennya berkecai sejak beberapa minggu ini menjelang pilihan raya pada 8 November selepas beberapa wanita tampil mendakwa beliau mencabul mereka — semuanya beliau nafikan.

Beliau turut mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap semua “penipu” yang mendakwa menjadi mangsa nafsu serakahnya.

“Ia tidak pernah berlaku. Tidak pernah. Semua penipu itu akan disaman selepas pilihan raya ini,” katanya di suatu ceramah.

Dakwaan itu menyusuli video yang menunjukkan Trump pada 2005 didengari membuat kenyataan lucah mengenai wanita kepada seorang pengacara bual bicara televisyen, sambil berkata populariti membolehkan beliau meraba.