Kartel minyak dunia hampir capai persetujuan bendung pengeluaran

kartel

PETALING JAYA: Presiden Venezuela Nicolas Maduro berkata negara pengeluar minyak Opec dan bukan Opec “sangat hampir” mencapai persetujuan untuk membendung pengeluaran minyak.

Agensi berita Azertag melaporkan beliau berkata demikian dalam pertemuannya dengan Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev di Baku semalam.

“Kami berbincang mengenai persetujuan antara Opec dan negara bukan anggota kartel. Kita sangat hampir mencapai suatu persetujuan dan meterai perjanjian berkaitan.”

Tambahnya perjanjian itu akan membuka laluan kepada pengeluaran minyak yang stabil dan formula harga minyak baharu.

“Saya percaya perjanjian berkaitan akan dicapai dalam masa terdekat.”

Maduro dalam rangka lawatan kerja ke Azerbaijan, Iran, Arab Saudi dan Qatar dalam usaha mendesak suatu perjanjian untuk menstabilkan pasaran minyak, yang kini diinjak harga rendah akibat bekalan berlebihan.

Di Iran, Presiden Hassan Rouhani berkata negaranya “menyokong semua usaha yang selaras dengan matlamat untuk menstabilkan pasaran minyak, harga yang adil dan bahagian pengeluaran yang adil,” lapor IRIB.

Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Minyak (Opec) pada 28 September di Algiers, Algeria bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran kepada sekitar 32.5 juta hingga 33.0 juta tong sehari, potongan pengeluaran pertama sejak 2008.

Mesyuarat dijadualkan pada 30 November untuk membincangkan perincian perjanjian itu.