Tidak patut BR1M ditambah tetapi subsidi ditarik, kata Guan Eng

lim-guan-eng

GEORGETOWN: Lim Guan Eng melahirkan kekesalan dengan Bajet 2017 yang disifatkan langsung tidak membantu rakyat berhadapan dengan kos hidup yang tinggi.

Ketua menteri Pulau Pinang itu tidak menganggap kenaikan pada skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) suatu kelebihan yang patut dibanggakan kerana dalam masa yang sama terdapat subsidi yang ditarik balik.

“Kita boleh lihat, pembentangan bajet semalam (kelmarin) seperti tangan kanan memberi dan tangan kiri ambil semula. Langsung tidak membantu rakyat untuk berhadapan dengan kos hidup yang tinggi.

“Kononnya, menaikkan BR1M, tetapi subsidi minyak masak dimansuhkan, tol pula dinaikkan. Ini semua membebankan rakyat, bukannya membantu,” ujar beliau sebagaimana dilapor Sinar Harian hari ini.

Pembentangan Bajet 2017 yang bertemakan “Mensejahtera Kehidupan Rakyat” oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencatatkan rekod baharu kerana meneruskan bajet defisit 20 tahun berturut-turut.

Defisit kali ini berjumlah 3.15% daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang sekali gus menunjukkan kerajaan BN gagal menepati sasaran defisit kurang dari 3.1%.

“Bajet ini jelas dibuat menjelang pilihan raya umum akan datang, namun di sebalik bajet pilihan raya ini, ia hanya indah khabar daripada rupa,” katanya sambil melahirkan rasa terkilan kerana Pulau Pinang langsung tidak mendapat manfaat daripada pembentangan bajet itu.