Buktikan kami sabotaj air Selangor, kata Adun BN

johan-azmin

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diminta mendedahkan senarai nama pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno yang terlibat dalam isu sabotaj air negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semenyih, Datuk Johan Abd Aziz berkata tuduhan Azmin itu tidak boleh dipandang ringan berikutan pencemaran air di Selangor merupakan isu besar.

“Buktikanlah, tuduhan membuta tuli sahaja tidak guna. Cuba spesifikkan siapa namanya? Orang Umno itu siapa? Kita nak periksa. Jika Umno/BN itu, mestilah orang.

“Kita (BN) akan berbincang dengan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar jika mereka tidak mengemukakan bukti,” katanya kepada FMT.

Azmin sebelum ini menunding jari mengaitkan pencemaran sungai berkenaan dengan unsur sabotaj yang didakwa didalangi BN dan Umno.

Susulan itu, Noh mencabar Azmin agar membuat laporan polis berhubung dakwaan wujud unsur sabotaj dalam kes pencemaran Sungai Semenyih sehingga menyebabkan loji rawatan ditutup buat kali ke-7 dalam tempoh setahun.

Bagaimanapun, hari ini Azmin berkata kerajaan negeri sudah membuat laporan polis berhubung dakwaan itu.

Azmin berkata pihaknya di bawah Lembaga Urus Air Selangor (Luas) membuat laporan kepada pihak berkuasa semalam.

“Luas membuat laporan polis semalam sebab semua insiden ini berlaku di luar Selangor. Semalam di Nilai, sebelum ini di Semantan, Pahang,” kata Azmin kepada pemberita di lobi Parlimen.

Mengulas lanjut, Johan berkata buat masa ini, beliau menunbuhkan pasukan pemantauan untuk membantu pencemaran yang berlaku di Sungai Semenyih.

“Kita melantik satu pasukan untuk menghadapi krisis air di Semenyih. Kita akan pantau setiap malam dan akan viralkan mana-mana taman yang tidak ada air.

“Kita juga sudah memanggil bomba untuk membantu memberi bantuan bekalan air semasa ketiadaan air,” katanya.