KDN tiada rancangan letak tikus, nyamuk dalam penjara

kdn-rikus

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan ada menjalankan kajian untuk meletak tikus dan nyamuk dalam penjara untuk memulihkan banduan.

Kementerian berkata pemenjaraan dilaksanakan bagi memastikan pesalah belajar daripada kesilapan mereka menerusi pelbagai program.

“Banduan perlu diberikan layanan yang baik, sel bersih, makanan sihat dan hak bertemu serta bersenam.

“Sementara berada di dalam penjara, pergerakan banduan mengikut peraturan dan undang-undang penjara yang mengikut standard minimum Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu,” kata kementerian menerusi jawapan bertulis.

Zuraida Kamaruddin (PKR – Ampang) sebelum itu bertanya sama ada KDN menjalankan kajian untuk meletakkan tikus dan nyamuk di penjara untuk memulihkan banduan.

Pada September, hakim bersara Mahkamah Rayuan Mohd Noor Abdullah berkata ada individu yang melakukan kesalahan hanya kerana mahu menikmati “faedah” disediakan di penjara.

Beliau berkata banduan tidak menyesal dan menganggap masuk penjara bermakna makanan percuma dan tidur lena.

Katanya, sel penjara sepatutnya disediakan dalam suasana tidak selesa dengan meletakkan nyamuk, tikus dan lipas yang boleh mengganggu banduan, supaya mereka benci kepada penjara.